.


.



Sunday, August 3, 2014

Edisi Syawal

Ramadhan dah berlalu pergi. Sayup-sayup meninggalkan dunia fana. Keindahannya tiada lagi terasa. Persoalan akan jumpa lagi atau tidak, berkunjung tiba.

Kini, sudah seminggu syawal bermula. Berbagai cerita dalam syawal. Ada yang gembira dan tidak kurang juga yang duka. Dalam kemeriahan menyambut syawal, kami masih mengenangkan nasib saudara-saudara nun jauh di Gaza sana. Apa khabarkah mereka? Berayakah mereka? Berbaju baru kah mereka? Ada makanan kah? Sigh.

Demi itu, kami cuba untuk tidak terlalu bermeriah di hari raya kali ini. Hanya bersederhana. Persiapan juga bersederhana. Sehinggakan tiada OPEN HOUSE kali ini. Kesihatan tidak mengizinkan. Waktu raya inilah merudum jatuhnya kesihatan. Allah nak bagi ujian, kena terima. Sesungguhnya teringin sekali kami menerima tetamu. Tetamu membawa masuk rezeki. Namun, masa mengekang semuanya.

Maafkan kami jika ada salah dan silap. Maafkan kami jika ada yang terguris hati. Sesungguhnya sebaik-baik perancangan dan kejadian adalah di tanganNYA.

Kesimpulan di hari raya :
  • Bermaaf-maafanlah sesama kita. Jangan diungkit sengketa lama.
  • Berwaspadalah dengan kata-kata. Jangan dijadikan musuh sesama kita.
  • Bermusyawarahlah sebelum menetapkan sesuatu menjadi bebanan orang lain. Jangan mengundang sengketa.
  • Berhati-hatilah ketika memandu. Jangan sampai TERjadi baru berfikir untuk tidak MENjadi.

Wednesday, July 16, 2014

Coretan Puasa

Sudah hampir penghujung puasa. Ya. Ramadan bakal pergi meninggalkan kita. Bagaimana dosa dan pahala? Masih sedikit pahala, atau semakin bertambah dosa?

Setiap hari, melewati waktu untuk ke tempat kerja. Setiap hari juga, perjalanan tidak ada jaminan selamat. Hanya Dia sebaik-baik perancangan. Andai terkandas di tengah jalan, apa yang telah kita tinggalkan? Dan apa yang kita bawakan ke masa seterusnya?

Manusia banyak perangai. Terkadang yang tua sekalipun, banyak karenah dan peelnya. Ada yang matang, ada yang tidak matang. Ada yang na'im, ada yang tidak bertimbang rasa dan berkira. Macam-macam.

Seronok menjalani hidup masing-masing seolah-olah pahalanya dikutip penuh dari orang lain. Walhal, hati belum tentu baunya wangi. Kerana itulah rahsia Allah yang tahu.

Yang muda, sibuk bekerja. Di bulan yang mulia ini pun sama sahaja dengan bulan-bulan yang lain. Tidak ada pertambahan ibadah. Apa lagi cuba mendekatkan padaNya. Apa nak jadi sedang kau adalah pemimpin dunia Islam??

Dosa silam. Seringkali kau menghantui diri. Tatkala semuanya tampak reda buat sekian lamanya, tiba-tiba kau muncul kembali. Mengapa begitu. Saat diri sudah berubah dan bertaubat, kau datang menguji lagi. Janganlah kau datang membawa binasa kembali!