.


.


Sunday, February 27, 2011

Perhitunganku


Allah!!!
Entah mengapa ungkapan itu terbit tiba-tiba dari lidahku, mungkin inilah yang dikatakan fitrah seorang hamba yang memang tidak berdaya dan sentiasa mengharapkan limpahan kekuatan dan keinginan dalam meneruskan perjuangan yang semakin hari ku lihat semakin sukar.

Memang sejak kebelakangan ini hatiku membentak tentang tugasan yang padat menghujani aku satu persatu. Jiwa yang dulunya tampak gagah kini meronta-ronta untuk dilepaskan dari segala bebanan ini. Bukan aku tak mahu, tapi entahlah inilah kali pertama aku merasakannya dan semangatku kian padam dan semakin menghitam.

Salah Siapa??
Hari demi hari yang aku lalui kini semata-mata menyalahkan orang lain diatas perasaanku yang kacau bilau ini.
Tetapi yang menghairankan, semakin banyak aku menyalahkan orang lain, semakin aku gelisah. Seperti ada sesuatu yang mengatakan bahawa ia semua salahku sebenarnya.

Aku makin keliru, tujuanku baik untuk membantu agama Allah, tapi kenapa jiwaku membentak sebegini rupa?
Aku teringat kata-kata seorang ustaz yang pernah memberikan kuliah sewaktu bertamrin dulu.

"Islam ini agama yang terbaik, ganjarannya menegakkannya juga adalah yang terbaik, nescaya perkara yang berkualiti dan terbaik itu mestilah ada mahar yang standing dengannya. Itulah dia pengorbanan dalam perjuangan"

Tersentak jiwaku ketika teringat kata-kata tersebut, otakku ligat mencari kekuatan yang terbit dicelah-celah kata tersebut. Aduh, daifnya diriku ini selalu meletakkan kesalahan ke atas bahu yang lain sedangkan aku masih lagi mampu memikulnya. Aku sentiasa menegakkan bahawa orang lainlah yang menjadi asbab aku terbeban sedangkan aku sendiri lalai dan sentiasa lupa kepada diri sendiri.

Dosa Yang Menghijab Amalan
"Sesungguhnya didalam setiap jasad anak adam itu ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruhnya, jika jahat daging itu maka jahatlah seluruhnya, ketahuilah daging itu adalah hati"

Begitulah rangkap hadith yang dituturkan oleh Rasulullah dalam menegaskan tentang kepentingan hati dalam mempengaruhi tindakan yang akan dizahirkan dengan tubuh badan, terutamanya dalam mengharungi kehidupan ini sebagai seorang pejuang.

Aku meneliti ayat hadith berkenaan, lalu aku mendapat satu jawapan dan kepastian tentang bentakkan jiwaku yang tidak keruan ini. Mungkin kerana dosa yang sentiasa aku lakukan menjadikan jiwaku penuh dengan dosa dan noda yang diibaratkan seperti titik hitam yang akan mengisi hati.

Mungkin dalam sedar atau tidak aku sendiri seronok melakukan dosa berkenaan dan perbuatan itu berterusan dalam keadaan aku yang semakin lalai dan cuai. Bukan soal dosa besar atau kecil yang telah aku lakukan, tetapi dosa sebesar manapun ia tetap dosa dan tidak disukai Allah.

Aku Ingin Kembali
"Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taubat( taubat nasuha)"

Dengan perlahan-lahan aku teringatkan ayat Al-Quran itu. Walaupun ringkas, tetapi punyai maksud yang dalam dan menusuk hati para pencinta agama Allah. Sesungguhnya manusia sentiasa melakukan dosa saban hari dan waktu, tetapi ingat, sebesar manapun kesilapan yang telah dilakukan, Allah lebih tahu akan hikmahnya dan tiada perkara diatas dunia ini yang dapat menandingi sifat pengampun Allah.

Dalam keheningan malam itu, aku mengalirkan air mata, spontan tanganku angkat dan jari jemariku susun rapi menadah tangan dalam kerendahan hati seorang hamba yang tidak berupaya melainkan dengan izin dariNya.

Ya Allah aku menadah tangan ini dengan penuh pengharapan, agar kau kurniakan aku kekuatan yang pernah Kau berikan pada Rasulullah,
Kekuatan hati yang kuat dan keazaman yang betul-betul mantap,
Aku seorang hamba yang hina dihadapanMu ya Allah,
Berilah aku hidayahMu untuk memandu jalanku ini,
Suluhlah jiwaku dengan suluhan Iman,
Perhiaskan diriku dengan sifat sabar,
Dan wangikan tubuhku dengan keringat jihad menujuMu,
Ya Allah, aku sedar aku tidak layak menuntut syurgamu,
Namun aku juga tidak mampu menghadapi murkaMu,
Ya Allah berilah kemulian kepadaKu dengan gugur SYAHID dijalanMU,
Sesungguhnya tiada yang lebih besar cita-citaku selain itu,
Ya Allah berikan sahabat seperjuanganku juga kekuatan,
Jangan biarkan mereka mati melainkan dalam perjuangan menegakkan agamaMU,
Sesungguhnya aku terlalu kasih dan cinta kepada mereka,
Ya Allah, pertemukan kami dengan kekasihMu iaitu Rasulullah,
Pertemukan kami dengan sahabat-sahabat baginda,
Dan pertemukan kami dengan para pejuang Islam yang istiqamah menyatakan kebenaran agamaMu,
Ya Allah, tuhan yang Maha Sempurna, perkenankanlah doaku ini...

Saturday, February 19, 2011

Untuk Kita

Dengarkanlah. Dengarkanlah suara hatiku ini.
Bukanlah niat hati untuk mencari perang atau meminta simpati. Cuma hati ini terlalu bimbang melihat keadaanmu dewasa ini. Saban hari bertambah parah.

Hati manakah yang tidak sayu melihatmu begitu andai empunya diri ini jua memiliki kakak dan adik yang sejiwa denganmu. Jiwa yang begitu halus. Tempat yang bersarang naluri keibuan.

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai (perintah) Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (At-Tahrim : 6)

Pakaian adalah lambang keperibadian akhlak. Setuju? Lantas apakah yang mendorong engkau masih memakai pakaian ahli maksiat? Kelak kerana pakaian itu engkau akan dihumban ke neraka!

Aku tahu, jauh di sudut hatimu, ingin benar kau menjadi muslimah yang solehah. Ia tersemat kukuh. Kerana itulah fitrah. Fitrah yang suci. Fitrah yang indah.

"Hadapkanlah wajahmu dengan lurus pada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ar-Rum:30)

Sungguh indah fitrah itu. Madu iman meyelaputinya.
Kembalilah kepada fitrah Islam, pasti engkau dapat merasai manisnya madu iman itu. Ya, amat manis. Tapi ia hanyalah dikhaskan kepada yang benar-benar berusaha untuk mendapatkannya. Aku tahu, untuk kembali kepada fitrah itu terlalu banyak besi halangan dan paku keperitan. Benarlah sabda Nabi Muhammad saw :

"Neraka itu dikelilingi oleh kesenangan, dan syurga itu dikelilingi oleh kesukaran." (HR Bukhari dan Muslim)

Namun tiada alasan untuk kita tidak kembali membersihkan segala noda dan titik hitam dalam hati andai kita benar-benar inginkan. Hendak seribu daya.

Terkadang aku pelik. Tudungmu sudah elok, menutup segala rambutmu. Namun jelek dan pelik bila engkau pakaikan baju yang berlengan pendek. Lagi malang baju adikmu yang kau sarungkan pada badanmu. Bila ditanya, inilah fesyen terkini jawabnya. Namun aku cabar jawapan ini lah yang akan engkau berikan  di hadapan Allah nanti. Adakah masih diberi kekuatan untuk menuturkannya sedemikian rupa?

Mengertilah. Aurat itu bukan hanya terletak pada rambut. Namun pada seluruh anggotamu kecuali tapak tangan dan mukamu. Aku yakin engkau sudah tahu cuma tidak mahu mengerti. Mengapa begini? Bukankah kau ingin kembali kepada fitrah?

"Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." (Surah al-Nur: 31)

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Ahzab : 59)

Terkadang aku terdengar kau merungut. Merungut kerana auratmu terlalu berat berbanding aurat lelaki bagimu. Usah begitu. Sebaliknya kau harus berbangga kerana engkau adalah ibarat permata yang tidak ternilai harganya. Lantas kerana itulah engkau dijaga rapi tanpa calar.

Apakah kau tidak melihat wanita barat yang hilang ketamadunan dan maruah serta malu angkara tidak dijaga oleh agama mereka. Mereka umpama batu hitam penuh debu di jalanan yang boleh dikutip dan dibuang sesuka hati. Aku pasti engkau tidak mahu begitu.

"Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah." (HR. Muslim, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad)

Aku menyeru dengan seruan sayang dan kasih sebagai adik atau abangmu, marilah sama-sama kita kembali kepada fitrah. Singkirkan segala pakaian ahli maksiat dan pakaikan pakaian solehah.

Moga Allah memberi kekuatan untuk kembali kepada fitrah. Rapatlah dengan-Nya, pasti kekuatan itu timbul tanpa dipinta. Aku menyeru dan menasihati diriku terlebih dahulu.

Buatlah pilihan tekad. Mulakan dengan dirimu. Pasti sahabatmu yang lain mengikutimu. Walau pada awal mereka kelihatan menentang atau tidak suka perubahanmu namun, hatinya juga seperti hatimu. Ingin jua menjadi muslimah sejati. Hanya kekuatan belum muncul.

Ayuh, tanggalkan segala pakaian ahli neraka itu. Pakaikanlah pakaian fitrah. Pakaian ahli syurga. Tutuplah auratmu. Rapatlah dengan-Nya. InsyaAllah Dia akan membantu merealisasikan hasratmu itu.

Monday, February 14, 2011

Aku Tak Mahu Suamiku Berdosa

Aku tak mahu suamiku berdosa
Lantas aku melabuhkan jilbabku
Berusaha menutup sempurna auratku

Aku tak mahu suamiku berdosa
Lantas aku perlengkapkan diriku
Dengan ajaran agama
Agar dapat membezakan
Antara yang benar dan salah

Aku tak mahu suamiku berdosa
Lantas aku hadkan pergaulanku
Dengan yang bukan mahramku

Aku tak mahu suamiku berdosa
Lantas aku menjaga diriku
Agar terhindar dari fitnah manusia

Aku tak mahu suamiku berdosa
Kerana aku sayangkan suamiku
Dan aku tak mahu suamiku terhumban
Ke neraka jahanam kerana diriku

Aku tak mahu suamiku berdosa
Kerana aku
Aku tak mahu suamiku berdosa..
 
Sumber : iluvislam.com

Wednesday, February 9, 2011

Bukan Milikku



Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai dan kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan.

Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa.

Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai keinginan dan impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak serta mempunyai keinginan. Tetapi bukan semua yang kita inginkan dapat dicapai. Sesungguhnya tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain.

Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya semua itu pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan betul. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki, jawatan atau kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, kita tidak akan mampu miliki; walaupun ia nyaris menghampiri kita atau meskipun kita bermati-matian berusaha mendapatkannya.

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)

Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!

Monday, February 7, 2011

Dosa Gugur Suami Isteri Bersalaman


Dosa gugur apabila suami isteri bersalam. RASULULLAH saw bersabda, yang bermaksud: "Seorang isteri yang bermuka muram di hadapan suaminya, maka ia dalam kemurkaan Allah hingga ia dapat membuat suasana yang riang gembira kepada suaminya dan memohon kerelaannya."

Begitulah besarnya harga senyuman seorang isteri kepada suaminya kerana senyuman akan mencetuskan suasana kegembiraan yang sebenarnya dikehendaki suami ketika pulang dalam keletihan.

Muka yang masam bukan saja akan menimbulkan kemarahan suami, malahan menyebabkan Allah turut murka dan kemurkaan Allah itu berkekalan hingga isteri berjaya mengembalikan suasana gembira serta memohon keampunan daripada suami.

Sesungguhnya keredaan Allah terletak pada keredaan suami. Justeru, apabila suami pulang segeralah bukakan pintu, persilakan masuk dengan penuh hormat dan ciumlah tangan suami sebagai tanda hormat serta meminta maaf,walaupun isteri merasakan tidak berbuat sebarang kesalahan pada hari itu.

Sebuah hadis ada menyebut bahawa apabila seorang suami bersalaman dengan isterinya, maka gugurlah segala dosa dari celah-celah jari mereka berdua.

Andai mempunyai anak-anak, ajarlah mereka itu untuk selalu bersalaman dengan ayahnya kerana kelaziman akan memupuk rasa kasih dan hormat anak-anak kepada orang tua.

Kebahagiaan rumahtangga terletak pada akhlak dan budi pekerti isteri. Biarpun seorang isteri itu tidak cantik tapi jika cukup sempurna layanannya terhadap suami dan berakhlak pula, tentu ia akan menjadi penghibur dalam rumahtangga.

Oleh itu wahai isteri, hendaklah berlumba-lumba untuk menjadi seorang isteri yang solehah, yang bertakwa, berakhlak mulia dan taat kepada suami.

Rasulullah bersabda, yang bermaksud: "Sungguh-sungguh memintakan ampun untuk seorang isteri yang berbakti kepada suaminya, iaitu burung- burung di udara, ikan-ikan di air dan malaikat di langit selama dia sentiasa dalam kerelaan suaminya."

Jika seorang isteri mengharap cintanya berbalas, maka banyakkan mencari keredhaan Allah melalui keredhaan suami.

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :

"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, dan dosa-dosa yang silam disulami dengan taubat kepada Dzat yang memiliki mu."