.


.


Wednesday, December 14, 2011

Kisah Hati


Bila kita berbicara soal hati, hati itu ada pelbagai rasa yang mana kadang-kala sukar untuk ditafsirkan dan sukar untuk dimengertikan. Manusia selalunya tertipu dengan apa yang ada dalam hati dan perasaan. 

Perasaan itu kadangkala akan menipu akal dan fikiran. Kadangkala kita merasakan sesuatu yang ada di depan mata kita itu adalah yang terbaik. Dan kita juga sering berprasangka apa yang kita ada itu tidak cukup dan tidak baik. 

Namun, hanya Allah saja yang lebih mengetahui apa yang terbaik sedangkan kita tidak. Perasaan di hati kita itu juga adakalanya membuat kita kebingungan, kegelisahan, kerisauan, kegusaran dan sebagainya yang membuatkan kita resah dan tidak senang duduk. Sehinggakan kita terduduk menangis memikirkan kegundahan perasaan yang wujud itu.
 
Hati dan perasaan memang ada dalam setiap diri manusia. Cuma yang membezakan ialah bagaimana kita semua menjaga hati itu supaya ia selari dengan akal dan fikiran kita. Jika terlalu mengikut perasaan dan kata hati, kita juga bisa mati. Akal fikiran dan pertimbangan yang baik sahaja dapat memandu kita kepada satu jalan yang betul. Kadangkala kita semua ini suka berprasangka kepada orang di sekeliling.

Orang yang berbuat baik dengan kita, kita akan berprasangka kononnya ada udang di sebalik batu. Ya, prasangka boleh jadi membantu hidup kita dan juga boleh membantutkan hidup kita. Kita sememangnya memerlukan prasangka tapi bukan prasangka  yang membantutkan hidup kita. Tapi, biarlah prasangka yang berpada-pada..Kita cuma perlu berhati-hati dan jangan terlalu mengikut kata hati.

Ada pendapat mengatakan wujudnya hati yang busuk, dan hati yang baik. Bagaimana hati yang busuk itu dan apa pula hati yang baik itu? Bolehkah kita sebagai hamba Allah yang lemah ini membaca apa yang terbuku di dalam hati insan ataupun individu lain? Hebat sangatkah kita meneka? Hebat sangatkah diri kita ini bila kita dengan yakin dan megahnya berkata "Aku tahu niat dia tu memang tak elok...niat dia saje nak tarik perhatian...niat dia itu...niat dia ini......niat dia memang nak mengenakan orang lain...niat dia nak menunjuk-nunjuk..." Padahal diri kita sendiri pun kadang-kadang tidak dapat mengenal pasti niat dalam hati kita.. Mulut bicara lain, tapi di selubuk hati berkata lain. Bagaimana diri kita ini boleh yakin dan sangat pasti dengan niat orang di sekeliling kita? Sedangkan sesungguh-Nya Allah jualah yang lebih mengetahui.

Oleh itu, marilah kita muhasabah diri kita sendiri.Terlalu banyak kekhilafan diri.Saya juga selalu berteka-teka dengan hati, perasaan, akal dan fikiran sendiri.Kadang-kadang kita juga menjadi bingung hanya kerana perasaan sendiri.Kita juga sering berasa tidak pasti dengan diri sendiri.Semuanya kerana diri ini sendiri.

Thursday, December 8, 2011

Seorang Isteri

Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa.

Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada zat Allah yang kekal, disitulah suisnya.


Akal setipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara atau ‘women gladiator’. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya disitulah kasih sayang Tuhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki waja: negarawan, karyawan, jutawan dan “wan-wan” yang lain. Tidak akan lahir ‘superman’ tanpa ‘superwoman’.

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkan.

Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki. Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki. Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan ‘secretary’, bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan  kehilangan puteri.

Bila wanita derhaka dunia lelaki akan huru-hara. Bila tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah pimpinlah diri sendiri dahulu kepada-Nya.

Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya dibawah pimpinan kita. Jangan mengharap isteri seperti Siti Fatimah, kalau peribadi belum lagi seperti Sayidina Ali.