.


.


Tuesday, November 29, 2011

Amalan Sunat di Bulan Muharram


Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam:
  1. Berpuasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun. Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
  2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
  3. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3 kali
  4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3 kali
Empat belas perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram):
  1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
  2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
  3. Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
  4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
  5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
  6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
  7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
  8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
  9. Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
  10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000 kali. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
  11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11 kali.
  12. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa. 
  13. Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Thursday, November 3, 2011

NurKasih Part 11


Kroniknya
Setiap apa yang berlaku dalam dunia hari ini, seakan memberi amaran. Amaran yang jelas bagi mereka yang celik, tapi amaran yang kosong bagi mereka yang buta mata hati. Terkadang bagi yang celik, amaran itu tidak diendahkan. Malah, menganggap ia hanya fenomena biasa, mendekati akhirat. Biasa? Sebiasa manakah? Sebiasa bagaimanakah? Apabila takdir mati menjemput sebentar lagi, adakah itu biasa?

Ada sekumpulan manusia, menyampaikan beribu nasihat untuk tatapan dan peringatan, tetapi sejauh manakah semua nasihat dan peringatan itu dipentingkan nilainya? Ada yang mendengar, mendengus, "Ahh, bosannya dengan meraka itu, selalu menulis tentang itu, tentang ini, bagus sangatkah mereka?". Jika sakit, diberikan ubat untuk sembuh. Jika nasihat itu ubat, tidak mahu sembuhkan anda? Tepuk dada tanya iman.

Para ulamak ada menyatakan, bahkan dalam al-Quran dan hadis juga ada menyebut, jika hatimu merasa tidak seronok dengan nasihat yang baik, maka itu tandanya hatimu masih kotor. Maka, cucikanlah ia dengan sempurna agar tidak terlambat. Tetapi, apa yang terjadi hari ini, ramai yang seolah menolak nasihat yang baik, peringatan yang berguna untuk masa depan di akhirat. Sayang..

Pernahkan anda terfikir, kasihan suamiku kerana terpaksa menanggung dosaku, kasihan isteriku kerana hari-hari dosanya bertambah kerana pakaiannya, pergaulannya sehingga aku ditarik sama, kasihan ayahku kerana aku bukan anak perempuan yang baik, kasihan adik-beradik lelakiku, kerana aku, mereka turut menanggung dosaku, kasihan ibuku, penat mengandungkanku anak yang jahat, dan sebagainya.

Taubat
Mati itu adalah benar dan pasti. Ia datang tanpa disedari terkadangnya. Maka percepatkanlah taubat kita. Jangan biarkan lidah dan mulut penat menjerit di alam barzakh, meraung kesakitan yang amat, meminta tolong. Siapa tahu apa yang boleh terjadi pada kita nanti.

Penerimaan
Yang pernah berbuat salah dahulunya, mungkin mereka telah pun berubah pada hari ini. Menyesali apa yang pernah dilakukan dulunya. Terimalah mereka seadanya. Dahulu itu hanya ujian dari Allah untuk menguji iman mereka. Syaitan itu tidak pernah serik menjadi perosak yang terbaik. Maka, natijahnya anak Adam tersungkur.

Tuesday, November 1, 2011

11 Jenis Manusia Didoa Malaikat



PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.

Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan. Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat. Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. 
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat. 
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia."

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah. 
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah. 
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”

5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca Al-Fatihah. 
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.
 Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah. 
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. “Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?” Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
 Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’” 

9. Orang yang membelanjakan harta (infak). 
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak’

10. Orang yang sedang makan sahur.
 Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”

11. Orang yang sedang melawat orang sakit. 
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”