.


.


Monday, September 19, 2011

Takdirnya

Andai itu takdirnya terimalah seadanya. Sudah tentu terselit hikmah disebalik musibah. Cuba kita perhatikan bunga mawar yang mekar kemerahan, sungguh cantik. Namun awas durinya mampu melukakan kita

Begitulah setiap yang indah bukannya mampu diraih dengan mudah namun perlu meredah berbagai mehnah, gunung perlu didaki lurah perlu dituruni. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Kadangkala kita sering lupa bahawa kita hanyalah hamba di bumi tuhan.Tidak layak kita membantah takdirnya. Namun kekadang tersungkur jua. Hati dalaman membentak ganas. "Mengapa tuhan?" Jika begitu cepat-cepatlah kembali kepada fitrah. Kita hanyalah seorang hamba tumpangan yang singgah sebentar menyemai amal untuk hari yang dijanjikan tuhan.

Siapa berusaha dia berjaya. Man jadda wajada waman zara'a hasoda. Hasilnya berlandaskan keikhlasan dan teguhnya iman. Siapa banyak amalnya, sekelip mata lepas titian sirat, siapa kurang amal timbangannya, mungkin terjatuh di tengah perjalanan. AWAS!

Andai itu takdirnya, katakanlah Ya Allah aku redha dengan pemberianmu. Biar setinggi mana halangan akan ku sahut, biar sejauh mana haluan, akan ku tempuh. Biar bermandi darah sekalipun akan ku berjuang hingga ke titik yang terakhir. Tidak sekali ku mengalah walaupun sesekali lelah. Indahnya jika begini wahai sahabat. Namun bukanlah semudah lafaz bicara. Hanya orang-orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa yang mampu lakukannya. Jadilah diri kita menuju kearah itu. Insya-Allah.

Lipatan sejarah terpapar. Kesusahan mengajar erti kematangan. Kegetiran mendidik erti kecekalan. Junjungan Besar kita dari kecil di duga, kehilangan bapa ketika masih belum sempat melihat dunia, kemudian ibunya menyusul pergi ketika baginda masih memerlukan seorang ibu. Jadilah baginda yatim. Tanpa berkeluh baginda tempuh. Ketika masih dahaga curahan kasih dari datuknya, Allah terlebih dahulu memanggil.

Tinggallah pula baginda bersama bapa saudaranya. Di situ terpapar jiwa besar baginda. Biarpun masih kecil baginda sudah bekerja. Mengembala kambing benar-benar mendidik baginda supaya sabar dan cekal. Ini hasilnya. Baginda mampu menyebarkan Islam di bumi tuhan walau berbagai rintangan dan cabaran. Di situlah hikmah sabar. Di situlah terselit kemanisan berjuang. Misi diimpi menjadi realiti.

Lihat pula Bilal bin Rabbah si hamba habsyi. Di hatinya hanya ada tuhan. Tidak sanggup menyerah demi akidah. Ahad! Ahad! Ahad!. Kemudian, Si Hamzah singa Allah. Tidak sesekali hatinya gerun. Demi Allah dan Rasulullah dia sanggup berjuang.

Biar hati dilapah namun Syurga yang diterjah. Sungguh Indah! Ramai lagi yang berjiwa besar. Namun mereka tetap sabar. Kerana mereka ada buah iman, mereka punya akar takwa. Sesukar mana dugaan bukan halangan. Cuma semangat yang perlu dikocakkan. Iltizam yang perlu dinyalakan. Mereka sudah membuktikan, kita bila lagi!

Andai kita diuji dengan kematian orang yang kita sayangi, jangan terlalu bersedih doakanlah untuknya. Sampai masa kita pula menyusul.

Andai kita diuji dengan sebuah perpisahan, yakinlah jika kita tidak berjumpa di dunia. Insya-Allah di syurga yang kekal abadi.

Andai kita diuji dengan kemiskinan bersyukurlah kita masih lagi mampu bernafas di bumi tuhan. Jadi banyakkanlah amal supaya kita kaya di sana.

Andai kita diuji dengan kesenangan. Ucaplah Alhamdulillah akan aku agihkan rezeki tuhan kepada yang memerlukan.

Andai kita diuji dengan kesusahan janganlah goyah. Sahutlah cabaran dengan hati yang gagah kerna itu yang mendewasakan kita dalam musafir panjang.

Wahai sahabat andai itu takdirnya. Terimalah seadanya. Janganlah berkeluh lalu lumpuh. Ayuh kita semarakkan perjuangan di bumi tuhan agar kita mendapat manfaatnya di hari kemudian. Setiap musibah ada hikmah. Ubat itu pahit namun menyembuhkan. Jika ingin ke puncak mesti mendaki. Bukannya hanya merenung tanpa bertindak. Yakin akan janjinya. Tuhan tidak pernah berdusta.

No comments:

Post a Comment