.


.


Sunday, February 27, 2011

Perhitunganku


Allah!!!
Entah mengapa ungkapan itu terbit tiba-tiba dari lidahku, mungkin inilah yang dikatakan fitrah seorang hamba yang memang tidak berdaya dan sentiasa mengharapkan limpahan kekuatan dan keinginan dalam meneruskan perjuangan yang semakin hari ku lihat semakin sukar.

Memang sejak kebelakangan ini hatiku membentak tentang tugasan yang padat menghujani aku satu persatu. Jiwa yang dulunya tampak gagah kini meronta-ronta untuk dilepaskan dari segala bebanan ini. Bukan aku tak mahu, tapi entahlah inilah kali pertama aku merasakannya dan semangatku kian padam dan semakin menghitam.

Salah Siapa??
Hari demi hari yang aku lalui kini semata-mata menyalahkan orang lain diatas perasaanku yang kacau bilau ini.
Tetapi yang menghairankan, semakin banyak aku menyalahkan orang lain, semakin aku gelisah. Seperti ada sesuatu yang mengatakan bahawa ia semua salahku sebenarnya.

Aku makin keliru, tujuanku baik untuk membantu agama Allah, tapi kenapa jiwaku membentak sebegini rupa?
Aku teringat kata-kata seorang ustaz yang pernah memberikan kuliah sewaktu bertamrin dulu.

"Islam ini agama yang terbaik, ganjarannya menegakkannya juga adalah yang terbaik, nescaya perkara yang berkualiti dan terbaik itu mestilah ada mahar yang standing dengannya. Itulah dia pengorbanan dalam perjuangan"

Tersentak jiwaku ketika teringat kata-kata tersebut, otakku ligat mencari kekuatan yang terbit dicelah-celah kata tersebut. Aduh, daifnya diriku ini selalu meletakkan kesalahan ke atas bahu yang lain sedangkan aku masih lagi mampu memikulnya. Aku sentiasa menegakkan bahawa orang lainlah yang menjadi asbab aku terbeban sedangkan aku sendiri lalai dan sentiasa lupa kepada diri sendiri.

Dosa Yang Menghijab Amalan
"Sesungguhnya didalam setiap jasad anak adam itu ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruhnya, jika jahat daging itu maka jahatlah seluruhnya, ketahuilah daging itu adalah hati"

Begitulah rangkap hadith yang dituturkan oleh Rasulullah dalam menegaskan tentang kepentingan hati dalam mempengaruhi tindakan yang akan dizahirkan dengan tubuh badan, terutamanya dalam mengharungi kehidupan ini sebagai seorang pejuang.

Aku meneliti ayat hadith berkenaan, lalu aku mendapat satu jawapan dan kepastian tentang bentakkan jiwaku yang tidak keruan ini. Mungkin kerana dosa yang sentiasa aku lakukan menjadikan jiwaku penuh dengan dosa dan noda yang diibaratkan seperti titik hitam yang akan mengisi hati.

Mungkin dalam sedar atau tidak aku sendiri seronok melakukan dosa berkenaan dan perbuatan itu berterusan dalam keadaan aku yang semakin lalai dan cuai. Bukan soal dosa besar atau kecil yang telah aku lakukan, tetapi dosa sebesar manapun ia tetap dosa dan tidak disukai Allah.

Aku Ingin Kembali
"Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taubat( taubat nasuha)"

Dengan perlahan-lahan aku teringatkan ayat Al-Quran itu. Walaupun ringkas, tetapi punyai maksud yang dalam dan menusuk hati para pencinta agama Allah. Sesungguhnya manusia sentiasa melakukan dosa saban hari dan waktu, tetapi ingat, sebesar manapun kesilapan yang telah dilakukan, Allah lebih tahu akan hikmahnya dan tiada perkara diatas dunia ini yang dapat menandingi sifat pengampun Allah.

Dalam keheningan malam itu, aku mengalirkan air mata, spontan tanganku angkat dan jari jemariku susun rapi menadah tangan dalam kerendahan hati seorang hamba yang tidak berupaya melainkan dengan izin dariNya.

Ya Allah aku menadah tangan ini dengan penuh pengharapan, agar kau kurniakan aku kekuatan yang pernah Kau berikan pada Rasulullah,
Kekuatan hati yang kuat dan keazaman yang betul-betul mantap,
Aku seorang hamba yang hina dihadapanMu ya Allah,
Berilah aku hidayahMu untuk memandu jalanku ini,
Suluhlah jiwaku dengan suluhan Iman,
Perhiaskan diriku dengan sifat sabar,
Dan wangikan tubuhku dengan keringat jihad menujuMu,
Ya Allah, aku sedar aku tidak layak menuntut syurgamu,
Namun aku juga tidak mampu menghadapi murkaMu,
Ya Allah berilah kemulian kepadaKu dengan gugur SYAHID dijalanMU,
Sesungguhnya tiada yang lebih besar cita-citaku selain itu,
Ya Allah berikan sahabat seperjuanganku juga kekuatan,
Jangan biarkan mereka mati melainkan dalam perjuangan menegakkan agamaMU,
Sesungguhnya aku terlalu kasih dan cinta kepada mereka,
Ya Allah, pertemukan kami dengan kekasihMu iaitu Rasulullah,
Pertemukan kami dengan sahabat-sahabat baginda,
Dan pertemukan kami dengan para pejuang Islam yang istiqamah menyatakan kebenaran agamaMu,
Ya Allah, tuhan yang Maha Sempurna, perkenankanlah doaku ini...

No comments:

Post a Comment