.


.



Monday, June 27, 2011

Saya Tegur Awak, Awak Tegur Saya


"Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain."

Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah.

Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.

Membina dan Meroboh
Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur.

Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang memerlukan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta  teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.

Lain pula sekiranya seseorang yang tidak memerlukan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.

Orang yang Menegur
Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya.

Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.

Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.

Orang yang Ditegur
Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.

Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".

Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?


Ingat..
Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.

Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.

Sunday, June 26, 2011

Tulang Rusuk Lelaki


WANITA: Siapa yang paling kamu cintai di dunia ini?
LELAKI: Kamu!!!
WANITA: Menurut kamu, saya ini siapa?
LELAKI: (Berfikir sejenak, lalu menatap WANITA dengan pasti) Kamu, tulang rusukku.

Kerana Allah melihat bahawa Adam kesepian. Saat Adam sedang lena tidur, Allah mengambil rusuk Adam dan menciptakan Hawa. Semua LELAKI mencari tulang rusuknya yang hilang dan saat menemukan wanita untuknya, tidak lagi merasakan sakit di hatinya...

Setelah berkahwin, pasangan itu mengalami masa yang indah dan manis untuk sementara. Setelah itu, pasangan muda ini mulai tenggelam dalam kesibukan masing-masing dan kelelahan hidup yang ada. Hidup mereka menjadi membosankan.

Kenyataan hidup yang kejam membuat mereka mulai menyisihkan impian dan cinta satu sama lain. Mereka mulai bertengkar dan pertengkaran itu mulai menjadi semakin panas. Pada suatu hari pada akhir sebuah pertengkaran WANITA lari keluar rumah. Saat tiba di seberang jalan, dia berteriak "Kamu tidak cintakan saya lagi!!!".

LELAKI sangat membenci ketidakdewasaan WANITA dan secara spontan juga berteriak "Saya menyesali perkahwinan ini! Kamu ternyata bukan tulang rusukku!!!"

Tiba-tiba WANITA terdiam, dan berdiri kaku untuk beberapa saat.
LELAKI menyesali akan apa yang sudah dia lafazkan, tetapi seperti air yang telah tertumpah tidak mungkin untuk diceduk kembali. Dengan berlinang air mata, WANITA kembali ke rumah dan mengambil barang-barangnya, bertekad untuk berpisah. "Kalau saya bukan tulang rusukmu, biarkan saya pergi. Biarkan kita berpisah dan mencari pasangan sejati masing-masing".

Lima tahun berlalu. LELAKI masih belum lagi berkahwin, tetapi berusaha mencari khabar akan kehidupan WANITA. WANITA pernah ke luar negeri tetapi sudah kembali. Dia pernah berkahwin dengan seorang asing dan bercerai.

LELAKI agak kecewa bila mengetahui WANITA tidak menunggu, sepertinya. Dan di tengah malam yang sunyi, dia meminum kopinya dan merasakan sakit di hatinya. Tetapi LELAKI tidak sanggup mengakui bahawa dia merindukan WANITA.

Suatu hari, mereka akhirnya bertemu kembali. Di airport, tempat di mana banyak terjadi pertemuan dan perpisahan, mereka dipisahkan hanya oleh sebuah dinding pembatas.

LELAKI: Apa khabar?
WANITA: Baik... Kamu sudah menemui tulang rusukmu yang hilang?
LELAKI: Belum.
WANITA: Saya akan terbang ke New York dengan penerbangan berikut. Saya akan kembali 2 minggu lagi. Telefon saya kalau kamu berkesempatan. Kamu tahu nombor telepon saya kan ? Tidak ada yang berubah.
WANITA tersenyum manis, berlalu di hujung lafaz "Selamat tinggal.."

Satu minggu kemudian, LELAKI menerima khabar WANITA adalah salah seorang korban Menara WTC. Malam itu, sekali lagi, LELAKI meneguk kopinya dan kembali merasakan sakit dihatinya. Akhirnya dia sedar bahwa sakit itu adalah kerana WANITA, tulang rusuknya sendiri yang telah dengan bodohnya dia patahkan.

Kita menempiaskan 99% kemarahan walau kepada orang yang paling kita cintai. Dan akibatnya adalah penyesalan. Seringkali penyesalan itu datang dikemudiannya, akibatnya setelah kita menyedari kesalahan kita, semua sudah terlambat..

Kerana itu, jagalah dan sayangilah orang yang dicintai dengan sepenuh hati... Sebelum mengucapkan sesuatu berfikirlah dahulu, apakah kata-kata yang kau ucapkan akan menyakiti orang yang dicintai? Kira merasakan akan menyakitinya, sebaiknya jangan pernah dilafazkan. Kerana semakin besar risiko untuk kehilangan orang yang dicintai.

Jadi berfikirlah, apakah kata-kata yang akan dilafazkan sebanding dengan akibat yang akan diterima?? 

Friday, June 17, 2011

Adab Bergurau

Dalam hidup bermasyarakat, lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan orang persekitaran, kawan-kawan, sahbat andai, saudara mara, adik beradik, dan sesiapa jua, kita kadang-kadang alpa dengan keajaiban mulut kita. Tak faham? Keajaiban mulut yang saya maksudkan ialah, kepetahan ia berbicara yang terkadangnya melangkaui batas berbicara. Sedar atau tidak ada di antara ucapan-ucapan kita yang boleh mengguris hati dan perasaan orang yang mendengar, lebih-lebih lagi orang yang dituju. Yang paling penting, ucapan itu tidak melebihi batas-batas agama Islam. Contohnya, BERGURAU.

Sebab itu kita mesti belajar macam mana untuk bergurau tapi tidak menyakitkan hati orang lain. Antara adab-adab dalam bergurau :
  • Niat yang benar. Dibolehkan bergurau dengan niat menghilangkan rasa penat, bosan, lesu serta bagi menyegarkan jiwa supaya memperoleh semangat baru bagi meneruskan tugasannya sebagai hamba dan khalifah.
  • Tidak berlebih-lebihan dalam bergurau kerana Islam menuntut agar bersederhana dalam setiap perkara. Terlalu kerap bergurau boleh menjatuhkan kewibawaan seseorang.
  • Elakkan bergurau dengan orang yang tidak suka bergurau kerana mereka selalu menganggap serius setiap ucapan dan perbuatan walaupun seakdar gurauan.
  • Tidak bergurau dalam perkara-perkara serius seperti talak, kahwin, rujuk, semasa menjadi saksi, dan sebagainya.
  • Tidak menakut-nakutkan seorang Muslim. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: " Tidak halal bagi seorang Muslim membuat takut bagi seorang Muslim yang lain." (Riwayat Abu Daud)
  • Berkata benar walaupun sedang bergurau. Inilah sunnah Rasulullah S.A.W sebagaimana sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya aku juga begurau senda namun aku tidak mengatakan kecuali yang benar." (Riwayat al-Tabarani)
  • Jangan memperlekeh individu tertentu atau kelompok tertentu dengan tujuan untuk bergurau.
  • Menjauhi bergurau dengan tangan dan kata-kata yang buruk. Allah berfirman yang bermaksud: "Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka." (Surah al-Isra' 17:53)
  • Tidak banyak tertawa. Rasulullah telah mengingatkan umatnya agar tidak banyak ketawa berdekah-dekah: "Janganlah kalian banyak tertawa. Sesungguhnya banyak tertawa dapat mematikan hati." (Riwayat Ibn Majah)
  • Bergurau dengan orang yang sesuai seperti kanak-kanak sebagaimana gurauan Rasulullah dengan Anas bin Malik dan Abu Umair.
Cuba renungkan dan selamat beramal!


Monday, June 13, 2011

Marah Jangan


Marah di dalam hati, marahlah semahunya. Kadangkala tidak mampu diungkapkan dengan kata. Bukan mudah untuk meluahkan rasa hati ini kerana terlalu ingin menjaga hati insan tercinta. Mungkin sudah terbiasa memendam perasaan. Aku lebih rela memendamkannya jauh ke dalam tasik hati dari menimbulkan pertelingkahan dengan dia yang ku sayang.

Dalam menghentikan rasa amarah ini, aku terfikir sejenak, tidakkah perbuatan memendam rasa ini akan menjadi dendam di lain masa nanti? Aku tidak boleh marah? Apakah maksudnya marah itu? Aku keliru sendiri. Mengapa harus ada perasaan marah itu? Alangkah bahagianya jika tiada perasaan marah. Tapi keliru semula. Apakah lengkap diri kita tanpa ada perasaan marah? Adakah dunia ini akan jadi aman tanpa perasaan marah? Aku pun tertanya sendiri.

Bila diamati semula, punca pertelingkahan ini atas sebab yang agak remeh temeh. Tapi entah bagaimana seperti ditiupkan lagi api kemarahan ini apabila kita saling ego dan tidak mahu mengalah dengan menuding jari tentang siapa salah. Pokok pangkalnya, cuma yang aku mahu adalah "bahagia", gembira sentiasa, merasa aman dan tenteram selalu. Tapi ada waktunya, perasaan insan lemah dan tidak berdaya sepertiku ini akan sentiasa berubah-ubah.Wahai insan yang sangat ku sayang dan ku cinta, maafkanlah jika aku selalu mengguris perasaan dan hatimu.

Setelah agak lama aku mendiamkan diri, akhirnya aku mendapat kesimpulannya. Dalam hidup berumah tangga, setiap pasangan harus bijak mengendalikannya. Kita harus bijak mengawal emosi marah, biarkan akal menjadi juri. Marah yang tidak terkawal bisa membinasakan diri sendiri dan membawa kepada kehancuran istana cinta yang dibina. Itulah akibatnya jika kita tidak mendahulukan sifat sabar tetapi melebihkan sifat-sifat syaitan yang dikeji oleh Allah S.W.T.

Oleh itu, kita sebagai umat Islam hendaklah menjauhinya. Kita tidak akan rugi jika menahan rasa marah kerana Allah menjanjikan syurga kepada orang-orang yang sabar..

Sabda Nabi S.A.W, "Apabila seseorang kamu marah dalam keadaan berdiri hendaklah dia duduk, jika masih tidak hilang kemarahannya hendaklah dia berbaring secara mengiring" (Hadith riwayat Ahmad & Abu Daud)

Monday, June 6, 2011

Effa's Diary #14

Alhamdulillah. Itu saja yang dapat ku ucap pada Yang Maha Esa kerana membantu kami membina sebuah masjid. Masjid Perkahwinan. Betapa gembiranya hati tika semua yang diimpikan menjadi kenyataan hasil dari sebuah kesabaran, segunung pengharapan, seluas laut tawakkal tu 'alallah, dan secebis cinta kasih untuk seorang lelaki yang kini sudah bergelar sebagai seorang suami kepadaku. Alam hidupku. Fasa kehidupanku.

Tanggal 03-06-2011 bersamaan 1 Rejab  1432H, tercatit sudah di dalam diariku sebuah permulaan kisah fitrah seorang insan yang bergelar wanita. Aku isterimu abi. Terima kasih untuk hadiah yang paling bermakna itu.

Pesan Umamah binti Harith kepada anaknya sebagai petua dalam rumah tangga yang bahagia. Umamah mewasiatkan kepada anak perempuannya yang akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang Raja Yaman, iaitu Al Harith bin Amru.

Dalam wasiat itu, Umamah berkata:

“Wahai puteriku, aku ingin memberitahumu 10 perkara sebagai pedoman dan panduanmu dalam melayari alam berumah tangga nanti iaitu jalinkan hubungan dengan suamimu penuh ketaatan, perhatikan tempat menjadi kesenangannya dan jangan sampai dia melihat kepada sesuatu yang buruk atau tercium sesuatu yang busuk.

Hendaklah kamu sentiasa membanggakannya kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu. Benarkanlah segala pendapat dan sikapnya nescaya dia akan bersikap lembut terhadapmu.

Kamu hendaklah menguruskan hal ehwal rumah tangga dengan sempurna dan baik. Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatannya. Simpankan segala rahsianya dengan baik, jangan kamu sesekali membantah suruhannya kerana ini akan melukakan hatinya.

Jagalah waktu makannya dan waktu beristirahat kerana apabila perut lapar akan membuatkan darah cepat naik. Begitulah juga dengan tidur yang tidak cukup akan menyebabkan keletihan. Andainya suamimu nanti sedang bergembira, janganlah kamu menunjukkan kesedihan pula, tetapi kamu hendaklah pandai menyesuaikan keadaan dan bijak mengikut suasana hatinya.

Kamu hendaklah sentiasa menghiasi dirimu selalu supaya suamimu nanti berasa senang apabila menatap wajahmu. Jadikanlah dirimu sebagai pembantu kepadanya. Nescaya nanti suami akan menjadi penolong pula pada dirimu."

InsyaAllah. Akanku laksanakan sebaiknya.

Doakanlah kebahagiaan kami hingga ke akhir hayat kami. Semoga hubungan ini mendapat keredhaan dari Allah SWT. Kepada keluarga, terima kasih kerana merestui hubungan ini. InsyaAllah kami tidak akan persiakan amanah Allah yang teramat sempurna ini. Syukran pada yang membaca diari online ini. Semoga kesemua urusan kita dipermudahkan oleh Allah SWT. Amin..

Monday, May 30, 2011

Cincin Itu, Kuku Ini

DOSA KUKU PANJANG
Dikatakan bahawa menyimpan sebatang jari kuku yang panjang, dosanya sama seperti memelihara sekandang babi , jika kesemua jejari kita menyimpan kuku yang panjang...bayangkanlah dosa yang telah kita tanggung untuk kesemua babi-babi tersebut..potonglah kuku anda..

The Truth
Jangan ada niat simpan kuku panjang , walaupun hanya 1 mm atau pun hanya jari kelingking. Bagi orang Islam adalah tidak sesuai berkuku panjang atas apa alasan sekalipun kerana ia tidak membayangkan kesucian dan ia juga bukan budaya kita apatah lagi menggunakan tangan untuk beristinjak.

Orang Melayu yang berkuku panjang biasanya mempunyai anak yang bodoh atau pun degil dan suka melepak sebab diberi makan bahan kotor yang berada di kuku jari emaknya semasa menyediakan makanan seperti memerahsantan kelapa, buat cokodok pisang, uli tepong, dll. Apa ilmu pun yang di ajar pun tak akan boleh diterima masuk ke dalam kepala.

Percayalah.
Pasal tabiat berkuku panjang inilah yang membuatkan orang Melayu mundur dan tidak berjaya. Syarikat Melayu yang bangkrap dan rugi teruk adalah kerana mempunyai pekerja dan pemilik yang berkuku panjang .
 
Untuk yang bujang beringatlah. Kalau hendak cari pasangan dan mahu anak yang pandai dan mendengar kata pilihlah wanita atau lelaki yang sentiasa berkuku pendek. Insya-Allah.

Kuku panjang mempunyai sejenis kuman seperti yang terdapat dalam najis manusia, iaitu E-Coli. Kuman tersebut tidak akan hilang walaupun kita mencuci tangan dengan sabun. Oleh itu, sentiasalah berkuku pendek untuk kesihatan dan kebersihan diri sendiri.

Sekarang ni ramai yang pakai cincin...tapi ikut suka dia je..sunnah  nabi jarang nak ikut ... 

Nasihat Nabi Muhammad Saw. kepada Saidina Ali rhu. sesudah bernikah dengan Siti Fatimah iaitu anakanda kesayangan , Nabi Muhammad Saw. berpesan kepada Saidina Ali iaitu kalau memakai cincin pakailah di jari :

1] jari manis
2] jari kelingking (anak jari) 

dan jangan memakai pada jari
1] jari tengah
2] jari telunjuk

Nabi Muhammad saw. melarang kerana memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah adalah meniru cara berhias kaum yang dilaknat oleh Allah iaitu kaum yang derhaka di zaman Nabi Lut a.s.

Perhatian : Cara memakai cincin adalah termasuk lelaki atau pun  perempuan.

Monday, May 16, 2011

Hati-hati Dengan Hati

Seketul daging. Terisi di dalamnya dengan seribu perasaan yang kadang-kadang sukar untuk diertikan. Manusia.. Ramai yang lemah kerananya. Memilikinya tanpa sedar akan pengaruhnya. Kenapa ramai yang suka menjadi hambanya? Menurut segala kemahuannya tanpa bertanya pada akal yang lebih sempurna.

Hati. Segalanya bermula di situ. Hati yang penuh dengan kasih dan sayang, hati yang penuh dengan rasa benci dan dendam, hati yang sentiasa cintakan kedamaian, hati yang sentiasa inginkan kepuasan. Cantik dan buruknya perilaku seseorang bergantung pada ketulusan hatinya.


Betapa sukar untuk menjaga sekeping hati... Pernah kita menjaga hati dengan sebaiknya? Atau kita sering mencacatkan hati dengan kerakusan hawa nafsu semata? Manusia mampu mencipta nama segah mungkin. Mampu melakar rangkaian teknologi yang canggih. Mampu merungkai rahsia alam yang sukar untuk ditembusi. Namun mengapa manusia ini khilaf dalam menjaga sekeping hati nan suci?

Hati seringkali dipenuhi dengan hasad dan dengki, benci dan dendam yang tidak terperi sehingga mampu mempengaruhi tangan dan kaki bergerak, berfungsi tanpa mengikut rentak akal yang diberi. Mengapa sanggup membiarkan hati yang penuh dengan amarah ini menyentuh sekeping hati yang penuh dengan ketulusan kasih sayang yang suci? Puaskah hatimu mencerobohi kamar hati dengan kerakusan hawa nafsu sendiri? Puaskah?

Kerana hati, ramai yang tersungkur, rebah menjadi hamba duniawi. Apabila diri dipuji-puji, hati kembang tidak terperi. Mencipta keangkuhan dalam hati dan merasakan akulah yang terhebat di muka bumi ini. Melayarkan sayap kesombongan sehingga terlupa untuk berpijak di bumi.

Lupa pada erti kesyukuran atas nikmat yang telah Allah pinjamkan. Hanya kerana rentetan hati yang teruji dengan pujian yang menggunung tinggi. Apabila ditegur akan kesilapan diri, dengan angkuh dan sombongnya menolak kritikan sehingga menampakkan kekejian di hati. Tertawalah si Syaitan dan Iblis kerana berjaya menghunuskan pedangnya di hati manusia yang 'mati' dari cahaya Illahi. Tidakkah kita sedar semua ini?

Ada segelintir manusia yang merasakan dirinya sudah cukup hebat di sisi Ya Rabb. Solatnya, zikirnya, ibadahnya dirasakan sungguh cukup sempurna dan mampu melintasi titian sirat dengan mudah. Sehingga menciptakan segelumit rasa bangga di dalam hatinya kerana menyangka diri tergolong dalam golongan mukmin. Jangan!


Jangan pernah berprasangka seperti ini kerana hati manusia sangat rapuh. Sangat-sangat rapuh. Allah mengetahui sejauh mana keikhlasan hamba-Nya dalam mencari cahaya cinta-Nya. Rasulullaah S.A.W sendiri yang sentiasa dilindungi Allah, yang telah dijanjikan Allah syurga Firdausi tidak pernah walau sedetik pun meninggi diri memperkatakan amalan yang dilakukan sehari-hari.

Malahan Nabi kita ini beribadah sehingga bengkak kaki Baginda hanya untuk menuntut takwa dan kasih sayang Allah S.W.T. Maka, mengapa kita yang hanya hamba-Nya yang sangat-sangat kerdil merasa bongkak dan angkuh seperti itu? Adakah kita akan merasa aman kerana secara zahirnya kita soleh tetapi hati kita sebenarnya terselingkuh di kemudian hari? Tidakkah kita takut dengan amaran Allah?

Dari sekeping hati yang suci mampu berubah menjadi onar dan duri. Hati pada asalnya penuh dengan kelembutan dan kasih sayang agar kita saling menyayangi dan melindungi sesama sendiri tetapi apa yang telah terjadi pada detik ini? Kerana dendam kita bermusuhan. Kerana dengki kita mencipta pergaduhan. Kerana marah, kita sanggup meleraikan persahabatan. Rosak binasalah hati akhirnya membawa kemusnahan pada diri sendiri.

Inilah persoalan yang membungkam pemikiran hati ini. Perihal penyakit hati yang semakin meruncing yang menggugat keimanan dan melunturkan ketakwaan. Ukhuwah yang terjalin terlerai hanya kerana terpedaya dengan bisikan hati yang sentiasa di cucuk dengan hasutan Iblis.

Jangan gunakan kebencian dan kedengkian kerana apa pun kebaikan akan bernilai negatif di mata para pendengki. Jangan dibiarkan hati terus bernanah, membusuk sehingga kebusukan itu dapat dihidu oleh orang lain. Didiklah, tuntunilah hati ini dengan madah dan kata Allah.

Bersihkan hati ini dari kata yang kelam lagi suram. Jauhkanlah hati dari nafsu dan dendam. Dikhuatiri kita terus hanyut dalam jalan yang suram sedangkan jalan yang terang luas terbentang tidak dapat dilihat hanya kerana hati yang hitam penuh kegelapan. Semoga kita terlindung dari kekejian hati. Amin..

Ketahuilah bahawa di dalam dada manusia ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya, apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah seketul daging itu adalah hati.
[HR Bukhari dan Muslim]

Tuesday, May 10, 2011

Punca Gangguan Syaitan


Alhamdullilah sekiranya diri kita ini dalam keadaan sihat-sihat belaka. Perkongsian yang ingin saya kongsikan bersama untuk kali ini lebih kepada amalan-amalan yang bertentangan dengan agama Islam yang menyesatkan kita. Sedarkah kita yang rasukan iblis ini sentiasa ada disekeling kita samada dimana kita berada? Insyaallah dengan ilmu dan iman yang kuat, serta ingat akan kuasa Allah S.W.T dapat menghalang kita dari terjebak dengan godaan-godaan syaitan laknatullah.

Dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Mereka ada hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahamkan. Mereka ada mata tetapi tidak digunakan untuk melihat. Mereka ada telinga tetap tidak digunakan untuk mendengar. Mereka itu seperti binatang, bahkan lebih sesat lagi daripadanya (binatang itu).”
(Surah Al-A’raf ayat 179).

Bisikan iblis/syaitan yang menyesatkan adalah ujian yang berat bagi manusia kerana ramai yang tewas disesatkan oleh Iblis. Seperti kita ketahui, iblis adalah musuh utama bagi manusia dan akan terus menggoda dan menyesatkan anak-anak Adam sampai la ke hari kiamat. Antara punca gangguan syaitan ini adalah :

Punca gangguan jin, sihir dan rasukan syaitan

1. Suka baca buku cerita, filem hantu dan sihir.
2. Perasaan takut dan gembira melampau.
3. Wanita suka bersolek dan membuka aurat.
4. Lalai serta ingkar perintah Allah.
5. Menyimpan alat muzik, alat melalaikan di rumah.
6. Meninggikan suara dalam bilik air.
7. Menangis dan merintih sebelum tidur.
8. Membuang air panas kedalam bilik air.
9. Melompat tempat tinggi tanpa membaca Bismillah
10. Tempat gelap yang ditinggalkan.
11. Suami isteri sering bertengkar.
12. Terlampau marah.
13. Mengikut hawa nafsu.
14. Simpan lukisan motif manusia atau anjing dalam rumah.
15. Berlaku sihir.
16. Berlaku perjanjian diantara jin dan tukang sihir.
17. Jatuh cinta kepada jin.

Tanda terkena gangguan jin dan syaitan

1. Sukar tidur malam.
2. Hati berdebar ketika senja.
3. Keluh resah tidak menentu.
4. Mimpi menakutkan yang berulang.
5. Selsema berpanjangan.
6. Berasa malas zikir dan sembahyang.
7. Sakit gagal dikesan oleh doktor.
8. Pening berpanjangan ketika senja.
9. Otak lemah.
10. Tidak sedarkan diri dan pengsan.
11. Telinga berdesing, dengar kata-kata suruhan.

Insyaallah dengan perkongsian kali ini, kita dapat buka minda lagi dan cuba menjauhi tipu daya iblis yang menyesatkan.Wahullam.

Monday, April 25, 2011

Alhamdulillah

Semua orang pernah menyesal..semua orang pernah buat salah..kita bukan Nabi mahupun malaikat yang sangat sempurna sifatnya..

Soal SESAL
~ Semua orang pernah menyesal..apa yang kita sesalkan tak akan berubah..sesalan kita tak akan merubah apa-apa..tapi,usaha kita boleh merubahnya..apa yang dah berlaku, biarkanlah berlaku..apa yg dh berlalu, biarkan berlalu..fahami ia, fikirkan cara bagaimana kita boleh buat yg terbaik dari itu..menyesal satu perbuatan yg merugikan..menyesal membuat kita mengingat semua kesilapan2 kita lalu menahan kita utk berubah kpd yg lbh baik..menyesal umpama kita berpatah balik menuju ke destinasi lepas yg sudah kita tinggalkan..

Soal SALAH
~ Kita tak boleh melawan arus hidup..kita kena memahami arus hidup kita, kemudian jadikannya sbg asas pemula utk kita buat sesuatu dgn cukup baik..biar kita berjalan seiring arus, mengintai peluang utk kita muncul berjaya..hidup saya biasa, tersangat biasa, hanya berbekalkan ilmu di dada yg rsnya sehingga hari ini masih belum cukup kuat utk mempertahankan diri sendiri dari syaitan laknatullah..tapi, setiap hari saya tekad utk melakukan semua yg sy buat dgn cukup bagus, hebat sekali..sy tekad utk belajar sepanjang masa, belajar memperbaiki kelemahan2 yg ada..Allah dah berfirman:

"Maka hendaknya org2 yg menyalahi perintah Allah takut akn ditimpa fitnah serta azab yg pedih" (An-Nur:36)
Taubat:
"Dan org2 yg mengerjakan dosa2 kemudian bertaubat sesudahnya dan beriman maka sesungguhnya Tuhanmu benar2 Maha Pengampun dan Penyayang.."(Al-A'raaf:153)

"Sesungguhnya Allah mencintai org2 yg bertaubat dan mencintai org2 yg suka membersihkan diri."(Ghafir:7)
Paling kurang sy menyesali salah dan silap saya dan telah bertaubat kpd Yang Maha Esa, dan berikrar tidak mahu mengulanginya lagi, awak bagaimana??Bicara saja tidak cukup, beza bicara org berilmu dan yg tidak berilmu sgt luas jurangnya..amat memalukan mengatakan diri seorg Muslim, berkata byk buat dosa, memuji mereka2 yg melanggar hukum Allah dan membanding2kan dgn mereka yg lbh baik, tapi tidak juga membuat perubahan pd diri sendiri..awak zalim dgn diri sendiri!! Ayuh, bertaubatlah!

Tuesday, April 19, 2011

Damba Pelangi Itu


Seringkali hati kecil mengadu sakit, seringkali jiwa meratap hiba. Dugaan dan ujian yang bertimpa-timpa, kadangkala menewaskan semangat yang ada.

Kadangkala kita berasa sendirian dan terasa betapa kita dipinggirkan. Ketika kita menyangka sudah tidak ada lagi yang bernilai dalam kehidupan dan yang kita lihat hanyalah jalan suram di hadapan.

Lantas kita marah kepada Tuhan, kita kecewa dengan ketentuan yang diciptakan. Kita menyalahkan takdir hitam dan saat itu sendu airmata mengaburkan kewarasan.

Lalu kita hilang pertimbangan, di antara keimanan dan rasukan syaitan. Kita hanya nampak jalan mudah untuk melepaskan diri, lalu ada yang seringkali memilih kematian sebagai penyelesaian.

Pernahkah sekali kita memahami alam?
Mengapa Tuhan hadirkan pelangi selepas hujan?
Mengapa Tuhan tumbuhkan bunga selepas kering-kontang? 
Hanya daripada benih hitam yang kusam, apabila disirami hujan lantas berbunga cantik. Maka tersenyumlah alam. Betapa indahnya aturan Tuhan.
Mengapa tidak ada hujan berpanjangan atau sinar mentari yang menyinari alam?
Mengapa harus ada putaran alam seperti hitam malam dihiasi bintang?
Mengapa untuk tidak ada sekaligus dalam satu masa?
Mengapa harus hilang sesuatu untuk sesuatu?

Jawabnya senang.

Kerana tidak ada kemanisan tanpa ada kepahitan, dugaan dan rintangan. Mengecapi kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Setiap kesenangan akan ada bayaran. Contohnya Tuhan hadirkan pelangi yang indah dan kicau burung yang menyanyikan kedamaian selepas hujan. 

Biar hujan di dalam hati, pasti ada pelangi yang menanti. InsyaAllah.

Tiada Duka Yang Abadi - Opick

Tiada duka yang abadi didunia
Tiada sepi merantaimu selamanya
Malam kan berakhir, hari ‘kan berganti
Takdir hidup kan dijalani

Tangis dan tawa nyanyian yang mengiring
Hati yang rindukan cinta dijalan-Mu
Namun ku percaya hati meyakini
Semua akan indah pada akhirnya

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini

Waktu berputar rebulan dan matahari
Bunga yang mekar akan layu akan mati
Malam kan berakhir, hari kan berganti
Takdir hidup kan dijalani

Wednesday, April 13, 2011

NurKasih Part 9


Detik waktu..terus berjalan..berhias gelap dan terang..suka dan duka..tangis dan tawa..tergores bagai lukisan..seribu mimpi..berjuta sepi..hadir bagai teman sejati..di antara lelahnya jiwa..dalam resah dan air mata..ku persembahkan kepadaMU..yang terindah dalam hidupku..

Terasa sesuatu..Persoalan memanggil..
Di benak yang paling mendalam..
Sehingga menjadi ralit..
Semakin jiwa dilanda..
Gelora sang penanti..
Semakin sukar difahami..
Puncanya gelisahku ini...

Suatu yang indah..ceritanya bermula semalam..andainya dapatku rasa selamanya..ku katakan dengan indah..hatiku hampa..sepertinya luka..menghampirinya..

Hanya kekosongan..jua kehilangan..
Ku rasai menghuni hati..
Di mana kan ku temui..
Penghujungnya resah ini..
Seumpamaku menanti sejawapan rindu..
Di mana kan ku temui..
Sinaran yang hakiki..
Untuk menjadi penyuluh..
Jalan di depanku..
Hingga akhir waktu..

Hadapi dengan senyuman..semua yang terjadi biarkan terjadi..hadapi dengan tenang jiwa..semua kan baik-baik saja..bila ketetapan Tuhan sudah ditetapkan..tetaplah sudah..tak ada yang bisa merubah dan takkan bisa berubah..relakanlah saja ini..bahawa semua yang terbaik..terbaik untuk kita semua..

Andainya kau temui..
Cahaya yang ku cari..
Sudikah dikongsi bersama..
Sebagai teman mahupun sebagai kekasih..
Merenung bayangan jauh..
Menatap pengertian..
Menyelam dasar persoalan..
Menyelongkar kemuncak maksud..

Sunday, April 10, 2011

Bunga Dipetik Orang

Bunga mekar di taman larangan
Elok kelopaknya, elok harumannya
Dijaga rapi Sang Penjaga
Dihias tertib tiada tercela

Aku menyaksikan bunga itu kembang
dan aku juga menyaksikan bunga itu layu.
Lantas! Siapa yang harus kupersalahkan?
Bunga itu? Atau kamu sang kumbang?
Atau kamu?

Tika bunga itu mula menjalar indah ke hentian tertinggi,
Kau datang merampas langkahnya.
Kau datang menghalang cintanya.
Ya!
Kamu datang menghalang cintanya
pada Raja Segala Cinta.
Masakan tidak kamu ketahui?
Cintanya itu milik Raja Segala Cinta!
Kamu tahu itu?
Kamu sedar itu?
Bukankah kamu kumbang sakti?
Mengapa tegar untukmu,
merampas dan merosak cintanya pada Si Dia?

Kamu datang membawa sejuta janji
Kamu datang membawa sejuta pengharapan
Dia itu bunga, wahai kumbang.
Dia itu bunga.
Disentuh oleh tangan asing, layulah dia
Dibuai cerita angkasa melangit, terbanglah dia.

Jangan kau gantung dia tiada bertali
Jangan kau biarkan dia lemah tiada hati
Jika benar kamu kumbang sakti, bunga itu tidak perlu tersungkur.
Petiklah dia.
Secepatnya.
Lekas! Jangan sampai bunga itu hilang seri
Saktimu dan serinya akan mengembalikan cahaya alam buana ini.
Bukankah itu ajaran Rasul kita?
Bukankah itu mengelakkan kemurkaan Tuhan kita?
Dari kamu berterus-terusan menghentak kaki, ego tiada bertepi, lekaslahhh..
Petik bunga itu dan berlarilah kamu di syurga nanti

Aku sayangkan bunga
dan kamu wahai kumbang
Cinta mana yang harus kusumpah menjadi racun?
Cinta yang membuatkan bunga dan kumbang tenggelam di alam fantasi.

Siramkan air dan baja
Mentari! Pancarkan cahaya!
Sempurnakan ia mengikut acuan yang sudah ditetapkan
Jangan diambil racun berbisa andai taman syurga bisa jadi milik kalian berdua

Petik dia.
Mohon petunjuk Raja Segala Cinta
Minta restu kedua orang tua
Dan aku mendoakan sentiasa

Bukan aku memaksa.
Tapi aku terpaksa
Sampai bila harus kau biarkan bunga itu terkulai di situ?
Dia perlukan jawapan.
Petik dia secepat yang kau mampu kumbang..
Andai bunga itu yang hadir dalam petunjukNya
Andai bunga itu yang tersenyum indah dalam mimpimu

Andai kamulah kumbang sakti itu..
Buktikan pada dunia kamu punya kuasa itu
Allah akan mempermudahkan segalanya.
Janji Allah itu pasti


"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanyang dikehendakiNya."
[At-Talaq:2-3]