Andai itu takdirnya terimalah seadanya. Sudah tentu terselit hikmah
disebalik musibah. Cuba kita perhatikan bunga mawar yang mekar kemerahan,
sungguh cantik. Namun awas durinya mampu melukakan kita.
Begitulah setiap yang
indah bukannya mampu diraih dengan mudah namun perlu meredah berbagai mehnah,
gunung perlu didaki lurah perlu dituruni. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan
dapat sagunya.
Kadangkala kita sering lupa bahawa kita hanyalah hamba di bumi tuhan.Tidak
layak kita membantah takdirnya. Namun kekadang tersungkur jua. Hati dalaman
membentak ganas. "Mengapa tuhan?" Jika begitu
cepat-cepatlah kembali kepada fitrah. Kita hanyalah seorang hamba tumpangan
yang singgah sebentar menyemai amal untuk hari yang dijanjikan tuhan.
Siapa berusaha dia berjaya. Man jadda wajada waman zara'a hasoda.
Hasilnya berlandaskan keikhlasan dan teguhnya iman. Siapa banyak amalnya,
sekelip mata lepas titian sirat, siapa kurang amal timbangannya, mungkin
terjatuh di tengah perjalanan. AWAS!
Andai itu takdirnya, katakanlah Ya Allah aku redha dengan pemberianmu. Biar
setinggi mana halangan akan ku sahut, biar sejauh mana haluan, akan ku tempuh.
Biar bermandi darah sekalipun akan ku berjuang hingga ke titik yang terakhir.
Tidak sekali ku mengalah walaupun sesekali lelah. Indahnya jika begini wahai
sahabat. Namun bukanlah semudah lafaz bicara. Hanya orang-orang yang
benar-benar beriman dan bertaqwa yang mampu lakukannya. Jadilah diri kita
menuju kearah itu. Insya-Allah.
Lipatan sejarah terpapar. Kesusahan mengajar erti kematangan. Kegetiran
mendidik erti kecekalan. Junjungan Besar kita dari kecil di duga, kehilangan
bapa ketika masih belum sempat melihat dunia, kemudian ibunya menyusul pergi
ketika baginda masih memerlukan seorang ibu. Jadilah baginda yatim. Tanpa
berkeluh baginda tempuh. Ketika masih dahaga curahan kasih dari datuknya, Allah
terlebih dahulu memanggil.
Tinggallah pula baginda bersama bapa saudaranya. Di situ terpapar jiwa besar
baginda. Biarpun masih kecil baginda sudah bekerja. Mengembala kambing
benar-benar mendidik baginda supaya sabar dan cekal. Ini hasilnya. Baginda
mampu menyebarkan Islam di bumi tuhan walau berbagai rintangan dan cabaran. Di
situlah hikmah sabar. Di situlah terselit kemanisan berjuang. Misi diimpi
menjadi realiti.
Lihat pula Bilal bin Rabbah si hamba habsyi. Di hatinya hanya ada tuhan.
Tidak sanggup menyerah demi akidah. Ahad! Ahad! Ahad!. Kemudian, Si Hamzah
singa Allah. Tidak sesekali hatinya gerun. Demi Allah dan Rasulullah dia
sanggup berjuang.
Biar hati dilapah namun Syurga yang diterjah. Sungguh Indah! Ramai lagi yang
berjiwa besar. Namun mereka tetap sabar. Kerana mereka ada buah iman, mereka
punya akar takwa. Sesukar mana dugaan bukan halangan. Cuma semangat yang perlu
dikocakkan. Iltizam yang perlu dinyalakan. Mereka sudah membuktikan, kita bila
lagi!
Andai kita diuji dengan kematian orang yang kita sayangi, jangan terlalu
bersedih doakanlah untuknya. Sampai masa kita pula menyusul.
Andai kita diuji dengan sebuah perpisahan, yakinlah jika kita tidak berjumpa
di dunia. Insya-Allah di syurga yang kekal abadi.
Andai kita diuji dengan kemiskinan bersyukurlah kita masih lagi mampu
bernafas di bumi tuhan. Jadi banyakkanlah amal supaya kita kaya di sana.
Andai kita diuji dengan kesenangan. Ucaplah Alhamdulillah akan aku agihkan
rezeki tuhan kepada yang memerlukan.
Andai kita diuji dengan kesusahan janganlah goyah. Sahutlah cabaran dengan
hati yang gagah kerna itu yang mendewasakan kita dalam musafir panjang.
Wahai sahabat andai itu takdirnya. Terimalah seadanya.
Janganlah berkeluh lalu lumpuh. Ayuh kita semarakkan perjuangan di bumi tuhan
agar kita mendapat manfaatnya di hari kemudian. Setiap musibah ada hikmah. Ubat
itu pahit namun menyembuhkan. Jika ingin ke puncak mesti mendaki. Bukannya
hanya merenung tanpa bertindak. Yakin akan janjinya. Tuhan tidak pernah
berdusta.
No comments:
Post a Comment