.


.



Sunday, February 27, 2011

Perhitunganku


Allah!!!
Entah mengapa ungkapan itu terbit tiba-tiba dari lidahku, mungkin inilah yang dikatakan fitrah seorang hamba yang memang tidak berdaya dan sentiasa mengharapkan limpahan kekuatan dan keinginan dalam meneruskan perjuangan yang semakin hari ku lihat semakin sukar.

Memang sejak kebelakangan ini hatiku membentak tentang tugasan yang padat menghujani aku satu persatu. Jiwa yang dulunya tampak gagah kini meronta-ronta untuk dilepaskan dari segala bebanan ini. Bukan aku tak mahu, tapi entahlah inilah kali pertama aku merasakannya dan semangatku kian padam dan semakin menghitam.

Salah Siapa??
Hari demi hari yang aku lalui kini semata-mata menyalahkan orang lain diatas perasaanku yang kacau bilau ini.
Tetapi yang menghairankan, semakin banyak aku menyalahkan orang lain, semakin aku gelisah. Seperti ada sesuatu yang mengatakan bahawa ia semua salahku sebenarnya.

Aku makin keliru, tujuanku baik untuk membantu agama Allah, tapi kenapa jiwaku membentak sebegini rupa?
Aku teringat kata-kata seorang ustaz yang pernah memberikan kuliah sewaktu bertamrin dulu.

"Islam ini agama yang terbaik, ganjarannya menegakkannya juga adalah yang terbaik, nescaya perkara yang berkualiti dan terbaik itu mestilah ada mahar yang standing dengannya. Itulah dia pengorbanan dalam perjuangan"

Tersentak jiwaku ketika teringat kata-kata tersebut, otakku ligat mencari kekuatan yang terbit dicelah-celah kata tersebut. Aduh, daifnya diriku ini selalu meletakkan kesalahan ke atas bahu yang lain sedangkan aku masih lagi mampu memikulnya. Aku sentiasa menegakkan bahawa orang lainlah yang menjadi asbab aku terbeban sedangkan aku sendiri lalai dan sentiasa lupa kepada diri sendiri.

Dosa Yang Menghijab Amalan
"Sesungguhnya didalam setiap jasad anak adam itu ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruhnya, jika jahat daging itu maka jahatlah seluruhnya, ketahuilah daging itu adalah hati"

Begitulah rangkap hadith yang dituturkan oleh Rasulullah dalam menegaskan tentang kepentingan hati dalam mempengaruhi tindakan yang akan dizahirkan dengan tubuh badan, terutamanya dalam mengharungi kehidupan ini sebagai seorang pejuang.

Aku meneliti ayat hadith berkenaan, lalu aku mendapat satu jawapan dan kepastian tentang bentakkan jiwaku yang tidak keruan ini. Mungkin kerana dosa yang sentiasa aku lakukan menjadikan jiwaku penuh dengan dosa dan noda yang diibaratkan seperti titik hitam yang akan mengisi hati.

Mungkin dalam sedar atau tidak aku sendiri seronok melakukan dosa berkenaan dan perbuatan itu berterusan dalam keadaan aku yang semakin lalai dan cuai. Bukan soal dosa besar atau kecil yang telah aku lakukan, tetapi dosa sebesar manapun ia tetap dosa dan tidak disukai Allah.

Aku Ingin Kembali
"Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taubat( taubat nasuha)"

Dengan perlahan-lahan aku teringatkan ayat Al-Quran itu. Walaupun ringkas, tetapi punyai maksud yang dalam dan menusuk hati para pencinta agama Allah. Sesungguhnya manusia sentiasa melakukan dosa saban hari dan waktu, tetapi ingat, sebesar manapun kesilapan yang telah dilakukan, Allah lebih tahu akan hikmahnya dan tiada perkara diatas dunia ini yang dapat menandingi sifat pengampun Allah.

Dalam keheningan malam itu, aku mengalirkan air mata, spontan tanganku angkat dan jari jemariku susun rapi menadah tangan dalam kerendahan hati seorang hamba yang tidak berupaya melainkan dengan izin dariNya.

Ya Allah aku menadah tangan ini dengan penuh pengharapan, agar kau kurniakan aku kekuatan yang pernah Kau berikan pada Rasulullah,
Kekuatan hati yang kuat dan keazaman yang betul-betul mantap,
Aku seorang hamba yang hina dihadapanMu ya Allah,
Berilah aku hidayahMu untuk memandu jalanku ini,
Suluhlah jiwaku dengan suluhan Iman,
Perhiaskan diriku dengan sifat sabar,
Dan wangikan tubuhku dengan keringat jihad menujuMu,
Ya Allah, aku sedar aku tidak layak menuntut syurgamu,
Namun aku juga tidak mampu menghadapi murkaMu,
Ya Allah berilah kemulian kepadaKu dengan gugur SYAHID dijalanMU,
Sesungguhnya tiada yang lebih besar cita-citaku selain itu,
Ya Allah berikan sahabat seperjuanganku juga kekuatan,
Jangan biarkan mereka mati melainkan dalam perjuangan menegakkan agamaMU,
Sesungguhnya aku terlalu kasih dan cinta kepada mereka,
Ya Allah, pertemukan kami dengan kekasihMu iaitu Rasulullah,
Pertemukan kami dengan sahabat-sahabat baginda,
Dan pertemukan kami dengan para pejuang Islam yang istiqamah menyatakan kebenaran agamaMu,
Ya Allah, tuhan yang Maha Sempurna, perkenankanlah doaku ini...

Saturday, February 19, 2011

Untuk Kita

Dengarkanlah. Dengarkanlah suara hatiku ini.
Bukanlah niat hati untuk mencari perang atau meminta simpati. Cuma hati ini terlalu bimbang melihat keadaanmu dewasa ini. Saban hari bertambah parah.

Hati manakah yang tidak sayu melihatmu begitu andai empunya diri ini jua memiliki kakak dan adik yang sejiwa denganmu. Jiwa yang begitu halus. Tempat yang bersarang naluri keibuan.

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai (perintah) Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (At-Tahrim : 6)

Pakaian adalah lambang keperibadian akhlak. Setuju? Lantas apakah yang mendorong engkau masih memakai pakaian ahli maksiat? Kelak kerana pakaian itu engkau akan dihumban ke neraka!

Aku tahu, jauh di sudut hatimu, ingin benar kau menjadi muslimah yang solehah. Ia tersemat kukuh. Kerana itulah fitrah. Fitrah yang suci. Fitrah yang indah.

"Hadapkanlah wajahmu dengan lurus pada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ar-Rum:30)

Sungguh indah fitrah itu. Madu iman meyelaputinya.
Kembalilah kepada fitrah Islam, pasti engkau dapat merasai manisnya madu iman itu. Ya, amat manis. Tapi ia hanyalah dikhaskan kepada yang benar-benar berusaha untuk mendapatkannya. Aku tahu, untuk kembali kepada fitrah itu terlalu banyak besi halangan dan paku keperitan. Benarlah sabda Nabi Muhammad saw :

"Neraka itu dikelilingi oleh kesenangan, dan syurga itu dikelilingi oleh kesukaran." (HR Bukhari dan Muslim)

Namun tiada alasan untuk kita tidak kembali membersihkan segala noda dan titik hitam dalam hati andai kita benar-benar inginkan. Hendak seribu daya.

Terkadang aku pelik. Tudungmu sudah elok, menutup segala rambutmu. Namun jelek dan pelik bila engkau pakaikan baju yang berlengan pendek. Lagi malang baju adikmu yang kau sarungkan pada badanmu. Bila ditanya, inilah fesyen terkini jawabnya. Namun aku cabar jawapan ini lah yang akan engkau berikan  di hadapan Allah nanti. Adakah masih diberi kekuatan untuk menuturkannya sedemikian rupa?

Mengertilah. Aurat itu bukan hanya terletak pada rambut. Namun pada seluruh anggotamu kecuali tapak tangan dan mukamu. Aku yakin engkau sudah tahu cuma tidak mahu mengerti. Mengapa begini? Bukankah kau ingin kembali kepada fitrah?

"Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." (Surah al-Nur: 31)

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Ahzab : 59)

Terkadang aku terdengar kau merungut. Merungut kerana auratmu terlalu berat berbanding aurat lelaki bagimu. Usah begitu. Sebaliknya kau harus berbangga kerana engkau adalah ibarat permata yang tidak ternilai harganya. Lantas kerana itulah engkau dijaga rapi tanpa calar.

Apakah kau tidak melihat wanita barat yang hilang ketamadunan dan maruah serta malu angkara tidak dijaga oleh agama mereka. Mereka umpama batu hitam penuh debu di jalanan yang boleh dikutip dan dibuang sesuka hati. Aku pasti engkau tidak mahu begitu.

"Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah." (HR. Muslim, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad)

Aku menyeru dengan seruan sayang dan kasih sebagai adik atau abangmu, marilah sama-sama kita kembali kepada fitrah. Singkirkan segala pakaian ahli maksiat dan pakaikan pakaian solehah.

Moga Allah memberi kekuatan untuk kembali kepada fitrah. Rapatlah dengan-Nya, pasti kekuatan itu timbul tanpa dipinta. Aku menyeru dan menasihati diriku terlebih dahulu.

Buatlah pilihan tekad. Mulakan dengan dirimu. Pasti sahabatmu yang lain mengikutimu. Walau pada awal mereka kelihatan menentang atau tidak suka perubahanmu namun, hatinya juga seperti hatimu. Ingin jua menjadi muslimah sejati. Hanya kekuatan belum muncul.

Ayuh, tanggalkan segala pakaian ahli neraka itu. Pakaikanlah pakaian fitrah. Pakaian ahli syurga. Tutuplah auratmu. Rapatlah dengan-Nya. InsyaAllah Dia akan membantu merealisasikan hasratmu itu.

Monday, February 14, 2011

Aku Tak Mahu Suamiku Berdosa

Aku tak mahu suamiku berdosa
Lantas aku melabuhkan jilbabku
Berusaha menutup sempurna auratku

Aku tak mahu suamiku berdosa
Lantas aku perlengkapkan diriku
Dengan ajaran agama
Agar dapat membezakan
Antara yang benar dan salah

Aku tak mahu suamiku berdosa
Lantas aku hadkan pergaulanku
Dengan yang bukan mahramku

Aku tak mahu suamiku berdosa
Lantas aku menjaga diriku
Agar terhindar dari fitnah manusia

Aku tak mahu suamiku berdosa
Kerana aku sayangkan suamiku
Dan aku tak mahu suamiku terhumban
Ke neraka jahanam kerana diriku

Aku tak mahu suamiku berdosa
Kerana aku
Aku tak mahu suamiku berdosa..
 
Sumber : iluvislam.com

Wednesday, February 9, 2011

Bukan Milikku



Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai dan kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan.

Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa.

Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai keinginan dan impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak serta mempunyai keinginan. Tetapi bukan semua yang kita inginkan dapat dicapai. Sesungguhnya tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain.

Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya semua itu pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan betul. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki, jawatan atau kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, kita tidak akan mampu miliki; walaupun ia nyaris menghampiri kita atau meskipun kita bermati-matian berusaha mendapatkannya.

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)

Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!

Monday, February 7, 2011

Dosa Gugur Suami Isteri Bersalaman


Dosa gugur apabila suami isteri bersalam. RASULULLAH saw bersabda, yang bermaksud: "Seorang isteri yang bermuka muram di hadapan suaminya, maka ia dalam kemurkaan Allah hingga ia dapat membuat suasana yang riang gembira kepada suaminya dan memohon kerelaannya."

Begitulah besarnya harga senyuman seorang isteri kepada suaminya kerana senyuman akan mencetuskan suasana kegembiraan yang sebenarnya dikehendaki suami ketika pulang dalam keletihan.

Muka yang masam bukan saja akan menimbulkan kemarahan suami, malahan menyebabkan Allah turut murka dan kemurkaan Allah itu berkekalan hingga isteri berjaya mengembalikan suasana gembira serta memohon keampunan daripada suami.

Sesungguhnya keredaan Allah terletak pada keredaan suami. Justeru, apabila suami pulang segeralah bukakan pintu, persilakan masuk dengan penuh hormat dan ciumlah tangan suami sebagai tanda hormat serta meminta maaf,walaupun isteri merasakan tidak berbuat sebarang kesalahan pada hari itu.

Sebuah hadis ada menyebut bahawa apabila seorang suami bersalaman dengan isterinya, maka gugurlah segala dosa dari celah-celah jari mereka berdua.

Andai mempunyai anak-anak, ajarlah mereka itu untuk selalu bersalaman dengan ayahnya kerana kelaziman akan memupuk rasa kasih dan hormat anak-anak kepada orang tua.

Kebahagiaan rumahtangga terletak pada akhlak dan budi pekerti isteri. Biarpun seorang isteri itu tidak cantik tapi jika cukup sempurna layanannya terhadap suami dan berakhlak pula, tentu ia akan menjadi penghibur dalam rumahtangga.

Oleh itu wahai isteri, hendaklah berlumba-lumba untuk menjadi seorang isteri yang solehah, yang bertakwa, berakhlak mulia dan taat kepada suami.

Rasulullah bersabda, yang bermaksud: "Sungguh-sungguh memintakan ampun untuk seorang isteri yang berbakti kepada suaminya, iaitu burung- burung di udara, ikan-ikan di air dan malaikat di langit selama dia sentiasa dalam kerelaan suaminya."

Jika seorang isteri mengharap cintanya berbalas, maka banyakkan mencari keredhaan Allah melalui keredhaan suami.

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :

"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, dan dosa-dosa yang silam disulami dengan taubat kepada Dzat yang memiliki mu."


Sunday, January 30, 2011

NurKasih Part 6


Dahulukala, langit dan laut saling jatuh cinta. Mereka saling menyukai di antara satu sama lain. Oleh sebab sangat sukanya laut terhadap langit, warna laut sama dengan warna langit. Oleh sebab sangat sukanya langit terhadap laut, warna langit sama denga warna laut.

Setiap senja datang, si laut dengan lembut sekali membisikkan kata-kata `Aku Cinta Padamu’ ke telinga langit. Setiap kali langit mendengar bisikan penuh cinta laut terhadapnya, langit tidak menjawab apa-apa , hanya tersipu-sipu malu dengan wajah kemerah-merahan.

Suatu hari, datanglah awan. Melihat kecantikan si langit, awan terus jatuh hati terhadap langit, bak cinta pandang pertama. Tetapi tentu sahaja langit hanya setia mencintai laut. Setiap hari, langit hanya mahu melihat laut sahaja. Awan berasa sedih tetapi ia tidak berputus asa mencari cara dan akhirnya mendapat satu akal. Awan mengembangkan dirinya seluas dan sebesar mungkin serta menyusup ke tengah-tengah di antara langit dan laut. Ia berusaha menghalangi pandangan langit dan laut terhadap satu sama lain.

Laut berasa marah kerana tidak dapat melihat langit. Laut mengeluarkan gelombangnya bagi mengusir awan yang mengganggu pandangannya. Tetapi tentu sekali usahanya tidak berhasil. Lalu datanglah angin yang sejak dulu mengetahui hubungan cinta langit dan laut. Angin berasakan perlu membantu langit dan laut menyingkirkan awan yang mengganggu perhubungan mereka yang sekian lama terjalin.

Dengan tiupan keras dan kuat, angin meniup awan. Lantas terpecah-pecahlah awan menjadi berselerak ke banyak bahagian, sehingga ia tidak berupaya lagi melihat langit dengan jelas dan tidak mampu lagi untuk mengungkapkan perasaannya terhadap langit. Kerana rasa terseksa menanggung perasaan cinta yang menggunung tinggi terhadap langit, awan menangis sedih.

Hingga sekarang, kasih antara langit dan laut tidak dapat dipisahkan. Kita juga dapat melihat di mana mereka menjalin kasih. Setiap kali memandang ke hujung laut, di mana ada garisan horizon yang menemukan langit dan laut, di situlah mereka sedang berpacaran..

Thursday, January 27, 2011

Bertunang Tanpa Sedar


Jika seorang lelaki menyatakan hasrat kepada seorang perempuan untuk dijadikan isteri dan wanita itu bersetuju, adakah ia dikira bertunang walaupun ibu bapa perempuan itu belum tahu atau tidak kenal pihak lelaki?

Jawapan
Makna pinang dari segi syarak adalah pihak lelaki menyatakan hasrat berkahwin kepada pihak perempuan. Apabila pihak perempuan berkata setuju, maka perempuan itu sudah dikira menjadi tunang kepada lelaki tersebut.

Contohnya apabila seorang lelaki berkata kepada seorang perempuan, "Aku ingin jadikan kamu sebagai isteriku."..."Kahwin la dengan kita bila-bila," jawab perempuan tersebut.

Maka dari segi hukum syarak, tatkala pihak perempuan itu bersetuju, dia telah menjadi tunang kepada lelaki tersebut; walaupun ia disebut dalam telefon.

Jadi, haram bagi lelaki lain untuk masuk meminang jika hal itu diketahui. Namun jika pihak lelaki lain yang ingin masuk meminang itu tidak tahu, maka ia tidak haram.

Bagaimana dengan kebiasaan orang Melayu yang menghantar rombongan meminang untuk lelaki meminang perempuan?
Ia hanyalah adat Melayu, dan tiada kena mengena dengan hukum Islam. Antara hukum Islam dan hukum adat, mana satu lebih penting? Namun tiada masalah dengan adat Melayu itu, cuma dari segi hukum Islam, bertunang itu adalah apabila seorang perempuan itu bersetuju dengan hasrat pihak lelaki untuk menjadikannya seorang isteri.

Bagaimana Jika Perempuan Itu Ketiadaan Ibu Dan Ayah?
Mengikut hukum syarak, jika perempuan itu persetujuannya sudah diizinkan oleh syarak seperti perempuan yang cerdik, yang sudah baligh dan sebagainya, ia sudah dianggap bertunang jika dia bersetuju dengan pelawaan lelaki yang menyatakan hasrat mengahwininya.

Apabila perempuan itu persetujuannya tidak menepati hukum syarak seperti belum baligh, gila dan lain-lain, maka wali diperlukan untuk menjawab 'pinangan' tersebut.

Kesimpulannya, kita perlu berhati-hati kerana kita boleh menjadi tunang orang tanpa kita sedar. Pastinya ramai yang tidak tahu dan perasan akan hakikat ini. -
- iluvislam

Tips Kahwin

Tips yang menarik untuk dikongsi bagi mereka yang sedang mempunyai niat untuk berkahwin dalam masa terdekat dan bagi mereka yang telah berkahwin:

1. KETIKA MENCARI CALON
Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita. Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.

2. KETIKA MELAMAR
Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis, tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.

3. KETIKA AKAD NIKAH
Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu, tetapi menikah di hadapan Allah.

4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN
Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoa'kan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana menyia-nyiakan do'a mereka.

5. KETIKA MALAM PERTAMA
Bersyukur dan bersabarlah. Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat.

6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA
Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri.

7. KETIKA BIDUK RUMAH TANGGA GOYANG
Jangan saling berlepas tangan, tapi sebaliknya justru semakin erat berpegang tangan.

8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100%

9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.

10. KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM
Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.

11 .KETIKA EKONOMI BERKEMBANG
Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita.

12. KETIKA ANDA ADALAH SUAMI
Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggungjawab apabila isteri memerlukan pertolongan anda.

13. KETIKA ANDA ADALAH ISTERI
Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan.

Tuesday, January 25, 2011

NurKasih Part 5

Bila Allah SWT berkehendak serta menghendakinya, dan pabila Dia telah menetapkan sesuatu maka Allah berfirman kepadanya: "Jadilah", maka jadilah ia. Begitulah beberapa ungkapan ayat-ayat kun [jadi] maka faya kun [jadilah] dalam al-Qura’an..

Tiada siapa yang dapat menolak takdirNya..siapalah kita untuk menidakkan ketentuanNya yang mana itu yang dirasakan terbaik olehNya buat kita atau mungkin juga sebuah ujian keimanan untuk diri kita..

Namun, sejauh mana penerimaan kita?Adakah kita boleh menerimanya dengan penuh rasa taqwa?Tepuk dada tanya sama hati..Cuma diharapkan jangan sesekali menolak takdirNya kerana itu bukan satu lantunan perasaan yang bagus dan baik disisiNya..

Apakah jenis ujian-ujian yang harus diterima itu??Kehilangan orang-orang tersayang mungkin antara ujian yang paling sukar untuk diterima kesedihannya..Mengapa?Kerana kita kehilangan mereka buat selama-lamanya..tiada berganti..nyawa di dunia hanya sekali..jumpalah nanti kita di akhirat yang abadi..

Sekalipun itu yang berlaku, janganlah ditangisi mereka yang sudah pergi..kerana mereka itu sudah pun pergi menemui Yang Maha Pencipta..nasib di sana pula berbeza..berdoalah semoga kita diberi kekuatan dan petunjuk untuk terus hidup dalam keadaan iman yang sempurna..supaya mati ktia nanti, dalam keadaan beriman kepadaNya..

Siapa tahu..ajal dan maut sesautu yang paling dekat dengan diri kita..cuma kita saja yang tidak mempedulikannya..bila ditanya apa dan siapa yang paling dekat dengan kita, berbagai karenah jawapan disuarakan..ada yang berkata, suamiku..ada yang berkata, keluargaku..ada yang berkata temanku..dan ada juga yang berkata, telefon bimbitku..kad pengenalanku..yang sering bersama-samaku setiap saat dan ketika..walhal, MATI lah yang paling dekat dengan kita..hari ini hari mereka, siapa tahu nanti hari kita?Allah yubarik fik..

Monday, January 24, 2011

Air Tangan Orang Yang Tak Solat

Semua orang tahu bahawa kalau meninggalkan solat adalah dosa besar dan malahan lebih hina daripada khinzir. Betapa hinanya kita kalau meninggalkan solat seperti yang dikisahkan pada zaman Nabi Musa as. 
 
Begini kisahnya, pada zaman Nabi Musa, ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga, dia tiada zuriat, lalu terdetik dalam hati dia (nazar), "Kalau aku dapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam." 
 
Nak dijadikan cerita, Allah pun kurniakan isteri si lelaki tadi pun hamil dan melahirkan anak. Apabila dah dapat anak, lelaki ni pun runsinglah. Dia dah nazar nak kena minum air kencing anjing hitam. Syariat pada zaman Nabi Musa berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad. Kalau umat Nabi Muhammad, nazar benda yang haram, maka tak payah buat tapi kena denda (dam) atau sedekah. Tapi kalau zaman Nabi Musa, barang siapa bernazar, walaupun haram tetap kena laksanakan nazar tu. Lalu, si lelaki yang baru mendapat anak, dengan susah hatinya pergilah bertemu dengan Nabi Allah Musa dan menceritakan segala yang terjadi ke atas dirinya.

Lalu, Nabi Musa menjawab bahawa lelaki tu tak perlu minum air kencing anjing hitam tetapi akan minum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam. Nabi Musa perintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan minum air tu. Lelaki itu pun senang hati, menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa tadi.
 
Lihatlah, betapa hinanya orang yang meninggalkan solat, sampai dikatakan air yang jatuh dari bumbung rumahnya, lebih hina dari air kencing anjing hitam. Itu baru air bumbung rumah, belum air tangan lagi. Menyentuh bab air tangan, selalu kita suka makan masakan ibu/isteri kita.

Jadi, kepada muslimat sekalian, peliharalah solat kerana kalau meninggalkan solat (kalau tak uzur), air tangan akan menitik ke dalam basuhan makanan; nasi, dsb. Anak-anak, suami pula yang akan makan makanan yang dimasak. Takkan nak biarkan suami dan anak-anak gelap hati minum air tangan orang tinggalkan solat. Tak gamak kan?

Tapi lain pula halnya dengan kita ni. Pagi petang, mamak! Teh tarik satu, roti canai satu. Ada pulak segelintir tukang masak yang tak solat. Kita pun makan bekas air tangan dia..Gelaplah hati kita, sebab tu liat nak buat kerja-kerja yang baik. Hati² apa yang kita makan. 
 
Betapa beratnya amalan solat ni hatta Allah syariatkan solat kepada Nabi Muhammad melalui Isra' Mikraj sedangkan kewajipan-kewajipan lain memadai diutus melalui Jibril as. Ketika saat Rasulullah nazak, sempat baginda berpesan kepada Saidina Ali (dan untuk umat Islam), "As-solah as Solah wa amalakat aimanukum". Maknanya, "Solat, solat jangan sekali kamu abaikan dan peliharalah orang-orang yang lemah di bawah tanggunganmu" .

7 Jenis Muka Mayat Dalam Kubur

Mayat yang mukanya berpaling dari arah kiblat. Itulah petanda bahawa semasa hidupnya telah melakukan perkara syirik kepada Allah. 

Mayat yang mukanya berbentuk babi. Itulah petanda semasa hidupnya tidak melakukan solat lima waktu, tidak menjaga solat lima waktu. Lalai dalam solatnya. Sesungguhnya solat dapat mencegah diri dari melakukan perbuatan keji dan mungkar. Perbuatan keji dan mungkar ini banyak, bukan hanya berduaan di tempat gelap, minum arak, berjudi sahaja. Tak tutup aurat juga perbuatan keji. Bayangkanlah sejak dari baligh lagi kita tidak pernah menutup aurat, berapa banyak dosa yang telah dikumpulkan. 

Mayat yang kepala menjadi batu yang hitam legam. Itulah mayat yang semasa hidupnya derhaka kepada kedua ibu bapa.

Mayat yang perutnya buncit dan meletup. Itulah mayat yang semasa hidupnya suka makan harta yang haram. Harta yang haram banyak contohnya. Antaranya mencuri... harta yang haram. Merompak... harta haram. Melesapkan duit kawan... harta yang haram.

Mayat yang kukunya mencengkam dan meliliti seluruh tubuhnya. Itulah mayat yang semasa hidupnya suka berkelahi, mengata orang dan mengumpat orang.
  

Mayat yang keluar mata air dari kuburnya dan air itu baunya lebih busuk dari bangkai. Itulah mayat orang yang suka makan riba'. 

Mayat yang wajahnya tersenyum. Itulah mayat yang semasa hidupnya berilmu dan beramal soleh.

Thursday, January 20, 2011

Abang, Maafkan Sayang

Kadang-kadang aku rasa akulah
Isteri yang terlalu banyak menerima
Sedangkan engkau tak pernah meminta

Kadang-kadang aku rasa
Akulah isteri yang baru terjaga
Sedangkan engkau tak pernah terlena

Kadang-kadang ku bersuara tanpa berfikir
semua perkataan ku menjadi salah
Datanglah ke sini dan pegang tangan ku
Sementara ku cerita kehidupan isteri
Harap dimengerti

Kadang-kadang ku sakiti hati mu
Bila ku tolak sentuhan mu
Bukan bermaksud aku kurang menyayangi mu..
Namun cabaran terlalu mengasak..

Kadang-kadang aku berubah pada pandangan mu
Tapi sayang, itu tidak benar
Tiada apa yang paling ku hargai
Daripada kehidupan manis bersama mu

Kadang-kadang ku fikir sejuta tahun
Adalah terlalu singkat
Hanya ku beritahu mu betapa sayangnya aku
Betapa syukurnya aku...
kau pelindung ku

Kadang-kadang berjauhan dengan mu
Akulah isteri yang terlalu tinggi bercita-cita...
Mencipta kerukunan keluarga
Namun aku tetap aku yang ini...
Maafkan aku wahai suamiku..
iluvislam.com

Saturday, January 15, 2011

Effa's Diary #13

"Suatu yang indah ceritanya bermula semalam..andainya dapatku rasa selamanya.."

Hidup kita penuh suka dan duka. Saat suka itu datang, kita terkadang lalai dan alpa untuk menyiapkan diri dengan hari duka. Sehingga hari duka itu datang, kita akan rebah longlai seketika. Buntu. Kabur. Semua ada.

Tatkala takdir indah menyerpa, kita sambut dengan riang gembira. Tetapi tatkala takdir suram menjengah, kita bersedih hati, bermuram durja. Mengapa? Bukankah itu takdirNya? Mengapa perlu mengeluh?

Bagaimana pula dengan kehadiran berbagai perasaan dalam hati? Terjahan emosi di dalam jiwa? Tentunya mengundang nestapa di minda dan sanubari. Tiap sesuatu yang berlaku pasti ada sebab dan hikmahnya. Allah itu Maha Mengetahui. Ya, kita mengerti tentang itu, tetapi mengapa terkadangnya kita seakan dirasuk emosi? Tidak sabar, tidak redha, keliru, bingung, kecewa, amukan marah. Kurang pasti dengan apa yang kita inginkan mungkin.

Perasaanku sekarang adalah keliru. Juga tidak yakin dengan masa depan yang dirancang-rancang ketika ini. Adakah dengan bergembira di atas kesedihan orang lain boleh membuatkan kita bahagia? Adakah dengan bersorak dengan takdir indah sendiri tetapi yang lainnya merintih duka di jiwa boleh dianggap satu kegembiraan mutlak? Masih bingung.

Sebagai seorang yang mempunyai tanggungjawab dan yang bertanggungjawab, terlalu banyak nota-nota kehidupan yang perlu dirisaukan. Terlalu berbagai kerisauan melanda diri seterusnya merosakkan emosi dan persekitaran. Dapatkah kita menerjah untuk menyelesaikan segala kekusutan itu? Berserah pada Yang Maha Esa. Wallahu 'alam.

Thursday, January 13, 2011

Wasiat Umar al-Khattab

Suatu hari Umar Bin Khattab r.a. bertutur kepada sebahagian sahabatnya;Aku berwasiat kepadamu enam perkara :

Jika engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau mahu mencacinya, maka cacilah dirimu. Kerana, celamu lebih banyak darinya.

Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah dahulu perutmu. Kerana, tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.


Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah ALLAH s.w.t.! Kerana, tiada seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih santun lembut kepadamu selain DIA.


Jika engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia. Sebab, andaikata engkau meninggalkannya, bererti engkau terpuji.


Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati. Kerana, jika engkau tidak bersiap untuk mati, engkau akan menderita, rugi penuh penyesalan.


Bilamana engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah Akhirat. Kerana, engkau tak akan memperolehnya kecuali dengan mencarinya.

Jangan Marah-marah

IMAM Syafie ada menegaskan: “Marah adalah satu di antara panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.”.

Apabila marah dituruti, ia akan membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tertinggal kecuali debu. Bagi menghilangkan perasaan marah ada beberapa panduan yang boleh diikuti, iaitu:

1. Perlu berasa malu dengan Allah atas segala tindakan kita. Allah memerhatikan segala tindakan dan sikap biadab kita.

2. Apabila datang perasaan hendak marah, ingatlah kita ini hanya manusia yang hina.

3. Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah supaya Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

4. Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah. Ia mungkin membawa kepada permusuhan dan balas dendam daripada orang yang kita marahi.

5. Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika marah. Ia lebih buruk daripada perlakuan seekor haiwan apabila kita dalam keadaan marah.

6. Apabila datang perasaan marah, banyakkan membaca istighfar kerana marah itu datang daripada syaitan.

7. Apabila marah sedang memuncak, ambillah wuduk kerana ia dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

8. Jika marah tidak dapat hilang dengan melakukan perkara seperti di atas, hendaklah tidur. Ini kerana ia dapat meredakan perasaan marah apabila bangkit dari tidur nanti.

9. Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah?

10. Apabila kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Begitu juga dengan orang lain yang melakukan kesilapan, tidak suka dimarahi, sebalik ditegur secara baik.

11. Satu cara lagi, apabila marah datang, sedangkan kita berdiri, duduklah. Apabila duduk, bersandarlah. Insya-Allah marah akan mula reda.