Bila kita berbicara soal hati, hati itu ada pelbagai rasa yang mana
kadang-kala sukar untuk ditafsirkan dan sukar untuk dimengertikan. Manusia
selalunya tertipu dengan apa yang ada dalam hati dan perasaan.
Perasaan itu
kadangkala akan menipu akal dan fikiran. Kadangkala kita merasakan sesuatu yang
ada di depan mata kita itu adalah yang terbaik. Dan kita juga sering
berprasangka apa yang kita ada itu tidak cukup dan tidak baik.
Namun, hanya
Allah saja yang lebih mengetahui apa yang terbaik sedangkan kita tidak. Perasaan
di hati kita itu juga adakalanya membuat kita kebingungan, kegelisahan,
kerisauan, kegusaran dan sebagainya yang membuatkan kita resah dan tidak senang
duduk. Sehinggakan kita terduduk menangis memikirkan kegundahan perasaan yang
wujud itu.
Hati dan perasaan memang ada dalam setiap diri manusia. Cuma yang membezakan
ialah bagaimana kita semua menjaga hati itu supaya ia selari dengan akal dan
fikiran kita. Jika terlalu mengikut perasaan dan kata hati, kita juga bisa mati.
Akal fikiran dan pertimbangan yang baik sahaja dapat memandu kita kepada satu
jalan yang betul. Kadangkala kita semua ini suka berprasangka kepada orang di
sekeliling.
Orang yang berbuat baik dengan kita, kita akan berprasangka kononnya
ada udang di sebalik batu. Ya, prasangka boleh jadi membantu hidup kita dan juga
boleh membantutkan hidup kita. Kita sememangnya memerlukan prasangka tapi bukan
prasangka yang membantutkan hidup kita. Tapi, biarlah prasangka yang
berpada-pada..Kita cuma perlu berhati-hati dan jangan terlalu mengikut kata
hati.
Ada pendapat mengatakan wujudnya hati yang busuk, dan hati yang baik.
Bagaimana hati yang busuk itu dan apa pula hati yang baik itu? Bolehkah kita
sebagai hamba Allah yang lemah ini membaca apa yang terbuku di dalam hati insan
ataupun individu lain? Hebat sangatkah kita meneka? Hebat sangatkah diri kita
ini bila kita dengan yakin dan megahnya berkata "Aku tahu niat dia tu memang
tak elok...niat dia saje nak tarik perhatian...niat dia itu...niat dia
ini......niat dia memang nak mengenakan orang lain...niat dia nak
menunjuk-nunjuk..." Padahal diri kita sendiri pun kadang-kadang tidak dapat
mengenal pasti niat dalam hati kita.. Mulut bicara lain, tapi di selubuk hati
berkata lain. Bagaimana diri kita ini boleh yakin dan sangat pasti
dengan niat orang di sekeliling kita? Sedangkan sesungguh-Nya Allah jualah yang
lebih mengetahui.
Oleh itu, marilah kita muhasabah diri kita sendiri.Terlalu banyak kekhilafan
diri.Saya juga selalu berteka-teka dengan hati, perasaan, akal dan fikiran
sendiri.Kadang-kadang kita juga menjadi bingung hanya kerana perasaan
sendiri.Kita juga sering berasa tidak pasti dengan diri sendiri.Semuanya kerana
diri ini sendiri.
No comments:
Post a Comment