.


.



Sunday, July 31, 2011

Effa's Diary #15


Sabda Nabi (s.a.w) : Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat, dan nafasnya itu adalah tasbih, doanya itu mustajab, dosanya diampunkan Allah, dan amal ibadatnya dilipatgandakan . (Al Hadith)

Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
  • Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah.
  • Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
  • Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
  • Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
  • Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)
Selamat Berpuasa dan Selamat Menunaikan Ibadah yang terbaik di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh berkat ini..Semoga kita memperoleh keampunan atas segala dosa-dosa kita yang telah lalu, tidak lupa juga pohon dilindungi dan dijaga perjalanan hidup di masa-masa akan datang supaya tidak berulangnya dosa-dosa yang sama atau dosa-dosa yang baru...

Kepada pengunjung blog ini, terima kasih kerana sudi menziarahi teratak singgahan kerdil ini..Mohon diberi tunjuk ajar dan teguran membina dari semasa ke semasa. Sama-sama kita berkongsi ilmu yang berguna dan bermanafaat untuk bekalan ke alam yang abadi di akhirat sana nanti. Terima kasih ana ucapkan.

Akhir kalam, buat suami tersayang, buat ibubapa tercinta, adik beradik terbaik, buat seluruh keluarga yang dikasihi, dan juga buat para sahabat yang diingati, ampunkan salah dan silap ana sepanjang perkenalan kita bersama..

Doa Malaikat Jibril Menjelang Ramadhan..
"Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:
1)Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada)
2)Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri
3)Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.."
Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali....

Wallahu'alam..


Thursday, July 28, 2011

Muhasabah Diri

Termenung aku mengimbau masa lalu,
Mengamati rentetan kehidupan,
Mencari secangkir sinar keluhuran,
Buat bekalan di akhir penantian masa.
Menapak aku di bumi-Mu ini dengan penuh leka,
Lalai aku dalam menunaikan tanggungjawab,
Aku cuba bertahan di pasak kesabaran,
Tetapi rapuh dihempas taufan kehancuran.
Setiap detik yang mendatang menyentap benakku,
Mampukah aku meneruskan perjalanan,
Meredah belukar kebal duniawi,
Agar aku bertahan sehingga ke laluan kemanisan ukhrawi.
Ya Allah yang Maha Mendengar,
Berikanlah aku cahaya petunjuk-Mu,
Pandulah aku yang masih buta di dalam cahaya,
Masih teraba-raba di laluan yang rata.
Ampunkanlah segala dosaku Ya Rabbi,
Hanya Engkaulah yang Maha Pengampun,
Kurniakan aku kemanisan Cinta-Mu,
Agar aku diizinkan mencium haruman syurga-Mu
 
 

Tuesday, July 19, 2011

Ukiran Di Jiwa



Ketenangan..yang ku cari..masih belum terbukti..jauh lagi perjalanan ini..

Apa yang dimaksudkan dengan ketenangan?
Ketenangan ialah dimana suatu situasi yang merehatkan minda dari sebarang bebanan dan ianya membuatkan hati kita gembira dan bebas dari belenggu kerisauan. Sudah pasti semua insan ingin berada di dalam kondisi yang tenang. Ketenangan mudah untuk dicapai sekiranya kita pandai menggunakan peluang dan kesempatan yang diberikan oleh Allah S.W.T.

Salah satu kuncinya ialah "Apabila kita mengingati tuhan, hati kita akan pasti menjadi tenang".

Ketenangan yang diimpikan mampu kita perolehi. Kekuatan diri kita melawan nafsu dan mengawal emosi menjadikan kita seorang yang mampu untuk merasai ketenangan.

Pujuklah minda untuk memperolehi ketenangan
Apabila minda bertindakbalas akibat di dorong oleh hati maka hancurlah jadinya. Sebaliknya jika hati di dorong oleh syari'at menghala kepada akal untuk berfikir dengan cara yang terbaik sudah pasti ketenangan akan kita perolehi.

Secara peribadinya, saya sendiri pernah merasai situasi seperti ini iaitu apabila berasa sedih, saya terikut pujuk rayu hati hinggakan ketenangan yang dicari hilang pergi.

Sebaliknya apabila akal yang dipandu ke arah yang betul, ianya akan menjadi penenang hati dan sekaligus membuatkan hidup kita aman dan harmoni.

Didalam Surah Ar-Rad ayat-28 Allah berfirman:
"Ingatlah, dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang"

Ketenangan yang dicari berada di sebelah kita, samada mahu atau tidak itu semua terpulang pada diri kita...

Thursday, July 14, 2011

Tips Nikah Kahwin


Tips yang menarik untuk dikongsi bagi mereka yang sedang mempunyai niat untuk berkahwin dalam masa terdekat dan bagi mereka yang telah berkahwin :

1. KETIKA MENCARI CALON
Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita. Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.

2. KETIKA MELAMAR
Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis, tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.

3. KETIKA AKAD NIKAH
Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu, tetapi menikah di hadapan Allah.

4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN
Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoa'kan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana menyia-nyiakan do'a mereka.

5. KETIKA MALAM PERTAMA
Bersyukur dan bersabarlah. Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat.

6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA
Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri.

7. KETIKA BIDUK RUMAH TANGGA GOYANG
Jangan saling berlepas tangan, tapi sebaliknya justru semakin erat berpegang tangan.

8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100%

9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.

10. KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM
Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.

11 .KETIKA EKONOMI BERKEMBANG
Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita.

12. KETIKA ANDA ADALAH SUAMI
Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggungjawab apabila isteri memerlukan pertolongan Anda.

13. KETIKA ANDA ADALAH ISTERI
Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan.

Thursday, July 7, 2011

Saya Sayang Awak, Awak Tahu?

Diamku tak bererti aku membenarkan
Bukan juga mengiyakan apa saja yang kau lakukan
Bisingku tidak bererti aku menyalahkan
Bukan juga melukakan
Tapi kerana aku amat menyayangimu
Maka aku cuba sedaya yang termampu
Menarikmu bersama mencari keredhaan-Nya

Di bumi yg terbentang luas ini
Kerana sayangku kepadamu
Maka aku cuba... dan terus mencuba!
Aku tak mahu berjalan mencari cahaya seorang diri
Dan membiarkan kau tergapai-gapai dalam kegelapan

Andai aku jumpa jalan
Tak akan kubiar kau sesat mencari jalan pulang
Aku akan! Itu janjiku!
Tapi hari ini hatiku benar-benar terguris
Terguris dengan tindakanmu
Terguris dengan janji palsumu untuk bersama-samaku mencari cahaya

Dan hati ini tiba-tiba timbul rasa benci
Benci kepada manusia yang menarik kau kembali ke jalan yang gelap
Hampir saja hari ini aku mungkiri janjiku itu
Namun tiba-tiba aku sedar
Andai ku biar janjiku itu terkubur bersama amarahku
Aku sama saja sepertimu

Andai ku biar janjiku itu terkubur bersama amarahku
Pasti si durjana bersorak gembira atas kelemahan jiwa mujahid ini
Andai ku biar janjiku itu terkubur bersama amarahku
Pasti, pasti pemilik cahaya itu akan bertanya kepadaku
Mengapa aku biarkan kau dalam kegelapan?
Aku tak mahu berjumpa dengan pemilik cahaya itu keseorangan..

Tak mahu..!
Kerana aku sayang kamu..
Maka aku akan cuba..dan terus mencuba!
Walau sekeping hatiku ini akan terluka teruk
Aku akan terus mencuba
Kerana aku sayang kamu!

Wednesday, July 6, 2011

Hati Awak Bagaimana?



"Orang perempuan ni aurat dia dari mana sampai kemana?", tanya seorang kakak naqibah pada adik-adik usrahnya. Salah seorang adik usrahnya tertunduk diam. Malu.

Dia tahu kesalahannya yang sering memakai pakaian yang agak ketat, menampakkan bentuk tubuhnya. Dia sedar akan kesalahannya, dan walaupun dia masih belum berubah, namun Alhamdulillah dia mempunyai ramai kawan yang sanggup menegur kesalahan itu. Kesalahan jelas, yang tampak di mata manusia lain.

Seorang naqibah lain pula, lengkap menutup aurat, berstokin tangan, stokin kaki,sedap di pandang mata. Ketika usrah sedang berjalan, dia menarik stokin tangannya sedikit ke depan. Terdetik rasa bangga dengan prestasi dirinya.

"Aku wanita yang baik, tak ramai yang mampu menutup aurat sebaik aku," bisik si syaitan yang durjana.

Usrah tetap berjalan seperti biasa. Tiada yang mampu menegur lintasan hati si naqibah, Tiada yang tergerak untuk memberinya peringatan. Dia terus dianggap 'sempurna' oleh adik-adik usrahnya. Walaupun dia juga melakukan dosa. Namun kesalahannya tersembunyi, tak mampu dilihat oleh mata kasar manusia!

Lalu kesalahan mana yang lebih membahayakan?
Kalau si adik usrah, dia masih boleh ditegur oleh manusia yang melihat dan menyayanginya. Tetapi si kakak naqibah, berkemungkinan besar terus menerus lalai dengan 'kebaikan' dirinya yang tiada nilai di sisi Allah taala.Naudzubillah..

Itulah bahayanya riya' dan ujub!
Melakukan sesuatu bukan keranaNya, tetapi kerana pandangan manusia dan perasaan bangga pada diri sendiri. Penyakit hati sangat bahaya kerana ia kadangkala berlaku tanpa kita sedari..

Kita yang sering memberi tazkirah di kalangan rakan-rakan, mampu menyebabkan terdetik rasa 'hanya akulah yang paling layak memberi nasihat'.

Kita yang sering mendapat markah tinggi dan pujian lecturer, menimbulkan rasa 'akulah yang paling hebat dan pandai'.

Kita yang sering bangun paling awal dipagi hari, menyebabkan rasa 'akulah yang paling baik antara yang lain' dan banyak lagi detik-detik hati hasil dari bisikan syaitan.

Syaitan itu bekerja dengan sangat licik dan halus!
Tanpa kita sedari,ia mempermainkan hati dan keihklasan niat kita. Maka waspadalah!
Seringlah menjaga hati dari penyakit-penyakit yang mampu membankrupkan kantong pahala kita.

Ingatlah kata-kata Allah taala,
"Katakanlah Muhammad, apakah perlu Kami beritahukan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya? (iaitu) orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia,sedangkan mereka mengira telah berbuat sebaiknya" [Al-Kahfi: 103-104]

Moga kita tidak tergolong dalam mereka yang sia-sia amalannya..