Monday, June 27, 2011

Saya Tegur Awak, Awak Tegur Saya


"Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain."

Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah.

Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.

Membina dan Meroboh
Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur.

Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang memerlukan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta  teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.

Lain pula sekiranya seseorang yang tidak memerlukan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.

Orang yang Menegur
Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya.

Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.

Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.

Orang yang Ditegur
Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.

Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".

Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?


Ingat..
Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.

Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.

Sunday, June 26, 2011

Tulang Rusuk Lelaki


WANITA: Siapa yang paling kamu cintai di dunia ini?
LELAKI: Kamu!!!
WANITA: Menurut kamu, saya ini siapa?
LELAKI: (Berfikir sejenak, lalu menatap WANITA dengan pasti) Kamu, tulang rusukku.

Kerana Allah melihat bahawa Adam kesepian. Saat Adam sedang lena tidur, Allah mengambil rusuk Adam dan menciptakan Hawa. Semua LELAKI mencari tulang rusuknya yang hilang dan saat menemukan wanita untuknya, tidak lagi merasakan sakit di hatinya...

Setelah berkahwin, pasangan itu mengalami masa yang indah dan manis untuk sementara. Setelah itu, pasangan muda ini mulai tenggelam dalam kesibukan masing-masing dan kelelahan hidup yang ada. Hidup mereka menjadi membosankan.

Kenyataan hidup yang kejam membuat mereka mulai menyisihkan impian dan cinta satu sama lain. Mereka mulai bertengkar dan pertengkaran itu mulai menjadi semakin panas. Pada suatu hari pada akhir sebuah pertengkaran WANITA lari keluar rumah. Saat tiba di seberang jalan, dia berteriak "Kamu tidak cintakan saya lagi!!!".

LELAKI sangat membenci ketidakdewasaan WANITA dan secara spontan juga berteriak "Saya menyesali perkahwinan ini! Kamu ternyata bukan tulang rusukku!!!"

Tiba-tiba WANITA terdiam, dan berdiri kaku untuk beberapa saat.
LELAKI menyesali akan apa yang sudah dia lafazkan, tetapi seperti air yang telah tertumpah tidak mungkin untuk diceduk kembali. Dengan berlinang air mata, WANITA kembali ke rumah dan mengambil barang-barangnya, bertekad untuk berpisah. "Kalau saya bukan tulang rusukmu, biarkan saya pergi. Biarkan kita berpisah dan mencari pasangan sejati masing-masing".

Lima tahun berlalu. LELAKI masih belum lagi berkahwin, tetapi berusaha mencari khabar akan kehidupan WANITA. WANITA pernah ke luar negeri tetapi sudah kembali. Dia pernah berkahwin dengan seorang asing dan bercerai.

LELAKI agak kecewa bila mengetahui WANITA tidak menunggu, sepertinya. Dan di tengah malam yang sunyi, dia meminum kopinya dan merasakan sakit di hatinya. Tetapi LELAKI tidak sanggup mengakui bahawa dia merindukan WANITA.

Suatu hari, mereka akhirnya bertemu kembali. Di airport, tempat di mana banyak terjadi pertemuan dan perpisahan, mereka dipisahkan hanya oleh sebuah dinding pembatas.

LELAKI: Apa khabar?
WANITA: Baik... Kamu sudah menemui tulang rusukmu yang hilang?
LELAKI: Belum.
WANITA: Saya akan terbang ke New York dengan penerbangan berikut. Saya akan kembali 2 minggu lagi. Telefon saya kalau kamu berkesempatan. Kamu tahu nombor telepon saya kan ? Tidak ada yang berubah.
WANITA tersenyum manis, berlalu di hujung lafaz "Selamat tinggal.."

Satu minggu kemudian, LELAKI menerima khabar WANITA adalah salah seorang korban Menara WTC. Malam itu, sekali lagi, LELAKI meneguk kopinya dan kembali merasakan sakit dihatinya. Akhirnya dia sedar bahwa sakit itu adalah kerana WANITA, tulang rusuknya sendiri yang telah dengan bodohnya dia patahkan.

Kita menempiaskan 99% kemarahan walau kepada orang yang paling kita cintai. Dan akibatnya adalah penyesalan. Seringkali penyesalan itu datang dikemudiannya, akibatnya setelah kita menyedari kesalahan kita, semua sudah terlambat..

Kerana itu, jagalah dan sayangilah orang yang dicintai dengan sepenuh hati... Sebelum mengucapkan sesuatu berfikirlah dahulu, apakah kata-kata yang kau ucapkan akan menyakiti orang yang dicintai? Kira merasakan akan menyakitinya, sebaiknya jangan pernah dilafazkan. Kerana semakin besar risiko untuk kehilangan orang yang dicintai.

Jadi berfikirlah, apakah kata-kata yang akan dilafazkan sebanding dengan akibat yang akan diterima?? 

Friday, June 17, 2011

Adab Bergurau

Dalam hidup bermasyarakat, lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan orang persekitaran, kawan-kawan, sahbat andai, saudara mara, adik beradik, dan sesiapa jua, kita kadang-kadang alpa dengan keajaiban mulut kita. Tak faham? Keajaiban mulut yang saya maksudkan ialah, kepetahan ia berbicara yang terkadangnya melangkaui batas berbicara. Sedar atau tidak ada di antara ucapan-ucapan kita yang boleh mengguris hati dan perasaan orang yang mendengar, lebih-lebih lagi orang yang dituju. Yang paling penting, ucapan itu tidak melebihi batas-batas agama Islam. Contohnya, BERGURAU.

Sebab itu kita mesti belajar macam mana untuk bergurau tapi tidak menyakitkan hati orang lain. Antara adab-adab dalam bergurau :
  • Niat yang benar. Dibolehkan bergurau dengan niat menghilangkan rasa penat, bosan, lesu serta bagi menyegarkan jiwa supaya memperoleh semangat baru bagi meneruskan tugasannya sebagai hamba dan khalifah.
  • Tidak berlebih-lebihan dalam bergurau kerana Islam menuntut agar bersederhana dalam setiap perkara. Terlalu kerap bergurau boleh menjatuhkan kewibawaan seseorang.
  • Elakkan bergurau dengan orang yang tidak suka bergurau kerana mereka selalu menganggap serius setiap ucapan dan perbuatan walaupun seakdar gurauan.
  • Tidak bergurau dalam perkara-perkara serius seperti talak, kahwin, rujuk, semasa menjadi saksi, dan sebagainya.
  • Tidak menakut-nakutkan seorang Muslim. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: " Tidak halal bagi seorang Muslim membuat takut bagi seorang Muslim yang lain." (Riwayat Abu Daud)
  • Berkata benar walaupun sedang bergurau. Inilah sunnah Rasulullah S.A.W sebagaimana sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya aku juga begurau senda namun aku tidak mengatakan kecuali yang benar." (Riwayat al-Tabarani)
  • Jangan memperlekeh individu tertentu atau kelompok tertentu dengan tujuan untuk bergurau.
  • Menjauhi bergurau dengan tangan dan kata-kata yang buruk. Allah berfirman yang bermaksud: "Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka." (Surah al-Isra' 17:53)
  • Tidak banyak tertawa. Rasulullah telah mengingatkan umatnya agar tidak banyak ketawa berdekah-dekah: "Janganlah kalian banyak tertawa. Sesungguhnya banyak tertawa dapat mematikan hati." (Riwayat Ibn Majah)
  • Bergurau dengan orang yang sesuai seperti kanak-kanak sebagaimana gurauan Rasulullah dengan Anas bin Malik dan Abu Umair.
Cuba renungkan dan selamat beramal!


Monday, June 13, 2011

Marah Jangan


Marah di dalam hati, marahlah semahunya. Kadangkala tidak mampu diungkapkan dengan kata. Bukan mudah untuk meluahkan rasa hati ini kerana terlalu ingin menjaga hati insan tercinta. Mungkin sudah terbiasa memendam perasaan. Aku lebih rela memendamkannya jauh ke dalam tasik hati dari menimbulkan pertelingkahan dengan dia yang ku sayang.

Dalam menghentikan rasa amarah ini, aku terfikir sejenak, tidakkah perbuatan memendam rasa ini akan menjadi dendam di lain masa nanti? Aku tidak boleh marah? Apakah maksudnya marah itu? Aku keliru sendiri. Mengapa harus ada perasaan marah itu? Alangkah bahagianya jika tiada perasaan marah. Tapi keliru semula. Apakah lengkap diri kita tanpa ada perasaan marah? Adakah dunia ini akan jadi aman tanpa perasaan marah? Aku pun tertanya sendiri.

Bila diamati semula, punca pertelingkahan ini atas sebab yang agak remeh temeh. Tapi entah bagaimana seperti ditiupkan lagi api kemarahan ini apabila kita saling ego dan tidak mahu mengalah dengan menuding jari tentang siapa salah. Pokok pangkalnya, cuma yang aku mahu adalah "bahagia", gembira sentiasa, merasa aman dan tenteram selalu. Tapi ada waktunya, perasaan insan lemah dan tidak berdaya sepertiku ini akan sentiasa berubah-ubah.Wahai insan yang sangat ku sayang dan ku cinta, maafkanlah jika aku selalu mengguris perasaan dan hatimu.

Setelah agak lama aku mendiamkan diri, akhirnya aku mendapat kesimpulannya. Dalam hidup berumah tangga, setiap pasangan harus bijak mengendalikannya. Kita harus bijak mengawal emosi marah, biarkan akal menjadi juri. Marah yang tidak terkawal bisa membinasakan diri sendiri dan membawa kepada kehancuran istana cinta yang dibina. Itulah akibatnya jika kita tidak mendahulukan sifat sabar tetapi melebihkan sifat-sifat syaitan yang dikeji oleh Allah S.W.T.

Oleh itu, kita sebagai umat Islam hendaklah menjauhinya. Kita tidak akan rugi jika menahan rasa marah kerana Allah menjanjikan syurga kepada orang-orang yang sabar..

Sabda Nabi S.A.W, "Apabila seseorang kamu marah dalam keadaan berdiri hendaklah dia duduk, jika masih tidak hilang kemarahannya hendaklah dia berbaring secara mengiring" (Hadith riwayat Ahmad & Abu Daud)

Monday, June 6, 2011

Effa's Diary #14

Alhamdulillah. Itu saja yang dapat ku ucap pada Yang Maha Esa kerana membantu kami membina sebuah masjid. Masjid Perkahwinan. Betapa gembiranya hati tika semua yang diimpikan menjadi kenyataan hasil dari sebuah kesabaran, segunung pengharapan, seluas laut tawakkal tu 'alallah, dan secebis cinta kasih untuk seorang lelaki yang kini sudah bergelar sebagai seorang suami kepadaku. Alam hidupku. Fasa kehidupanku.

Tanggal 03-06-2011 bersamaan 1 Rejab  1432H, tercatit sudah di dalam diariku sebuah permulaan kisah fitrah seorang insan yang bergelar wanita. Aku isterimu abi. Terima kasih untuk hadiah yang paling bermakna itu.

Pesan Umamah binti Harith kepada anaknya sebagai petua dalam rumah tangga yang bahagia. Umamah mewasiatkan kepada anak perempuannya yang akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang Raja Yaman, iaitu Al Harith bin Amru.

Dalam wasiat itu, Umamah berkata:

“Wahai puteriku, aku ingin memberitahumu 10 perkara sebagai pedoman dan panduanmu dalam melayari alam berumah tangga nanti iaitu jalinkan hubungan dengan suamimu penuh ketaatan, perhatikan tempat menjadi kesenangannya dan jangan sampai dia melihat kepada sesuatu yang buruk atau tercium sesuatu yang busuk.

Hendaklah kamu sentiasa membanggakannya kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu. Benarkanlah segala pendapat dan sikapnya nescaya dia akan bersikap lembut terhadapmu.

Kamu hendaklah menguruskan hal ehwal rumah tangga dengan sempurna dan baik. Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatannya. Simpankan segala rahsianya dengan baik, jangan kamu sesekali membantah suruhannya kerana ini akan melukakan hatinya.

Jagalah waktu makannya dan waktu beristirahat kerana apabila perut lapar akan membuatkan darah cepat naik. Begitulah juga dengan tidur yang tidak cukup akan menyebabkan keletihan. Andainya suamimu nanti sedang bergembira, janganlah kamu menunjukkan kesedihan pula, tetapi kamu hendaklah pandai menyesuaikan keadaan dan bijak mengikut suasana hatinya.

Kamu hendaklah sentiasa menghiasi dirimu selalu supaya suamimu nanti berasa senang apabila menatap wajahmu. Jadikanlah dirimu sebagai pembantu kepadanya. Nescaya nanti suami akan menjadi penolong pula pada dirimu."

InsyaAllah. Akanku laksanakan sebaiknya.

Doakanlah kebahagiaan kami hingga ke akhir hayat kami. Semoga hubungan ini mendapat keredhaan dari Allah SWT. Kepada keluarga, terima kasih kerana merestui hubungan ini. InsyaAllah kami tidak akan persiakan amanah Allah yang teramat sempurna ini. Syukran pada yang membaca diari online ini. Semoga kesemua urusan kita dipermudahkan oleh Allah SWT. Amin..